ISLAM DAN KEARIFAN TEMPATAN DALAM KONTEKS ALAM MELAYU:
SUATU ANALISIS KRITIKAL
Oleh:
Prof. Madya Dr. WZ Kamaruddin bin Wan Ali
Dr. Ahmad Zuhdi bin Ismail
Dr. Wan Yusoff bin Wan Sulaiman
En. Nawi bin Abdullah
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya,
Lembah Pantai 50603, Kuala Lumpur.
Abstrak
Sebelum kedatangan Islam ke alam Melayu, masyarakat Melayu menganut fahaman animisme. Perubahan telah berlaku selepas kedatangan Islam dengan konsep al-Tawhid yang mengubahkan paradigma pemikiran ketuhanan dengan penafian akan kewujudan kepelbagaian tuhan. Dengan keseluruhan Islam sebagai al-Din @ a way of life sebagai cara hidup, menerusi gagasan Usulu’d-Din, Syari’ah dan Tasawwuf, ia telah menarik minat dan perhatian masyarakat Melayu tempatan. Kehidupan masyarakat Melayu dalam keseluruhan tatacara kehidupan, meliputi falsafah, pemikiran, budaya dan adat resam yang tidak selaras dengan Islam telah mulai diselarikan secara beransur-ansur. Dapatan yang dikemukakan adalah berasaskan metode kualitatif. Artikel ini akan memfokuskan perbincangan mengenai Islam dan kearifan tempatan di Nusantara atau alam Melayu dengan tumpuan kepada beberapa perkara utama iaitu Islam sebagai al-Din, konsep asaskearifan tempatan, dan juga Islam serta hubungannya dengan pengukuhan kearifan tempatan Melayu.
- Pengenalan
Pada dasarnya artikel ini akan cuba membicarakan peranan Islam dalam pembentukan kearifan tempatan masyarakat Melayu di Alam Melayu. Nusantara atau Alam Melayu ini telah menjadi suatu kawasan penting dalam peta dunia sejak zaman berzaman. Terdapat tipologi yang membahagikan ras bangsa masyarakat dunia kepada lima jenis iaitu Caucasian (kulit putih), Negroid (kulit hitam), Mongolian (kulit kuning), Red Indian (kulit merah) dan Melayu Polinesia (kulit sawo matang).1 Dalam kerangka pembahagian ini ras Melayu Polinensia telah digunakan dengan merujuk kepada ras yang mendiami kawasan Nusantara yang merangkumi Gugusan Kepulauan Melayu termasuk Borneo, Polinesia dan Madagaskar.2 Sarjana non-Muslim terutama Barat semasa telah memperkenalkan Alam Melayu sebagai suatu kawasan penting dan eksklusif di dalam kerangka kajian regional studies untuk subjek kawasan (geografi) masyarakat Muslim berteraskan Islam. Ia dibezakan dengan kawasan Timur Tengah, Indo-Pakistan, Afrika, Eropah dan Amerika Utara.3 Penetapan kawasan rantau Alam Melayu (Malay Archipelago) yang berbeza dengan kawasan lain dibuat berasaskan kepada pelbagai elemen persamaan yang membabitkan pelbagai kawasan, Indonesia, Malaysia dan kepulauan Borneo.4
Alam Melayu ini dicirikan sebagai kawasan yang memiliki hasil bumi yang berharga, juga sebagai kawasan yang memiliki keunikan dari segi kearifan tempatan yang membezakannya dengan kawasan kaum muslimin yang lain.5 Pada masa kini, banyak formula dan paradigma masyarakat Melayu di sebelah Timur ini telah mula dipelajari kekuatannya oleh masyarakat luar,6 termasuklah masyarakat Barat.7
- Kesimpulan
Sebagai rumusan akhir, dapat dikatakan bahawa masyarakat Muslim-Melayu di Alam Melayu memang kaya dengan pelbagai elemen kearifan tempatan yang boleh dibanggakan. Semuanya mempunyai perkaitan dengan kebijaksanaan manusia Melayu hasil interaksi dengan ajaran Islam. Kesemua formula kearifan tempatan ini bersifat evergreen yang relevan pemakaiannya hingga pada masa sekarang. Dalam konteks dunia global yang menyaksikan kebanyakan formula penyelesaian masalah manusia sejagat didasarkan kepada formula barat yang bersifat euro-centric, sudah sampai masanya kita mengangkat dan memperkenal paradigma manusia Muslim-Melayu di mata dunia. Hal ini perlu dilakukan secara berhemah dengan menggali dan menyusun secara sistematik semua paradigma dan formula kearifan tempatan manusia Melayu yang terdapat di dalam korpus keilmuan Muslim-Melayu silam. Sebaiknya, proses ini perlu dilakukan dengan menggunakan kaedah pentafsiran yang betul mengikut world-view manusia Melayu.
1 Mohd Yusof Hasan (1991), Dunia Melayu, Kuala Lumpur : DBP, h. 4.
2 Muhammad Yusoff Hashim (1992) Pensejarahan Melayu : Kajian Terhadap Tradisi Sejarah Melayu Nusantara, Kuala Lumpur : DBP, h. 1-3.
3 Lihat sebagai contohnya pembahagian regional studies tentang masyarakat Islam seluruh dunia di dalam buku John Esposito (1996), Islam And Democracy, Oxford.
4 Rahimin Affandi Abdul Rahim (2010), Pembaharuan Pemikiran Hukum Islam Di Indonesia , Jurnal JATI, v. 15, h. 13– 22.
5Azyumardi Azra (1999), Renaisans Islam Asia Tenggara : Sejarah Wacana Dan Kekuasaan, Bandung : PT Remaja Rosdakarya, h. 5-7
6 Md. Sidin Ahmad Ishak (2000), The Malays In The Middle East, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, h. 26-34
7 Osman Bakar (2003), “ Globalisasi dan peradaban “, dalam A. Aziz Deraman Globalisasi Dalam Peradaban Di Malaysia, Kuala Lumpur : DBP, h. 33-38