KEJADIAN MANUSIA BERDASARKAN AL-QURAN DAN TEORI EVOLUSI DARWIN

KEJADIAN MANUSIA BERDASARKAN AL-QURAN DAN TEORI EVOLUSI DARWIN

Oleh :

Dr Danial bin Zainal Abidin

(M.B.Ch.B., University of Alexandria)

Mukadimah

Embriologi merupakan ilmu yang membincangkan tentang proses kejadian embrio dalam rahim. Fasa-fasa perubahan embrio dalam rahim tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Tanpa bantuan alat-alat yang canggih manusia tidak dapat mengetahui proses perkembangan bayi dalam rahim secara terperinci. 

Dalam dunia moden, perbincangan yang paling awal berhubung dengan perkembangan embrio dalam rahim ibu hanya berlaku pada abad kelima belas Masihi, sedangkan al-Quran telah memperincikan tentangnya lebih awal lagi.

Embriologi Al-Quran dan Pandangan Saintis

Profesor Keith L. Moore merupakan seorang profesor dalam bidang Anatomi dari Universiti Toronto, Kanada. Antara buku yang telah ditulis oleh beliau ialah The Developing Human: Clinically Oriented Embryology. Beliau berasa kagum dengan ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang ilmu embriologi. 

Dalam pendahuluan bukunya The Developing Human: Clinically Oriented Embryology edisi ketiga, beliau berkata, “Selama tiga tahun saya bekerjasama dengan Jawatankuasa Embriologi di Universiti Abdul Aziz, Jeddah, untuk membantu mereka menginterpretasikan ayat-ayat Quran dan Hadis yang berkaitan dengan kejadian manusia dan embrio dalam rahim. Saya amat kagum dengan ketepatan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan pada abad ketujuh Masihi ini jika dibandingkan dengan penemuan-penemuan semasa, sedangkan ketika itu bidang sains embriologi masih belum wujud… Selama ini saya tidak pernah mengetahui isi-isi yang terdapat dalam al-Quran dan Sunnah” Hal ini dilaporkan dalam The Miracle and Challenge of the Quran di www.islamzine.com.

Tambahan daripada itu, ketika membentangkan kertas kerjanya di Kaherah berhubung dengan embriologi dan al-Quran, beliau berkata, “Saya berasa amat gembira kerana berpeluang terlibat dengan usaha untuk menjelaskan maksud ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan pertumbuhan manusia. Bagi saya, kenyataan-kenyataan ini menunjukkan ia datang daripada Tuhan disebabkan ilmu-ilmu ini tidak diketahui hingga beberapa abad selepas itu. Ini membuktikan, Muhammad ialah seorang Utusan Tuhan.” 

Kenyataan-kenyataan ini dimuatkan dalam This is the Truth (video tape) terbitan syeikh Abdul-Majeed al-Zindani, pengarah Projek Keajaiban Sains Dalam Quran dan Hadis, berpusat di Universiti Raja Abdul Aziz, Jeddah, Saudi Arabia.

Teori Evolusi Darwin

Teori yang paling popular diperkatakan berhubung kejadian manusia ialah Teori Evolusi Darwin. Teori ini diasaskan oleh seorang pakar biologi dari England yang bernama Charles Robert Darwin (1809-1882 Masihi). Beliau menegaskan, kesemua makhluk yang hidup, sama ada manusia ataupun haiwan, berasal daripada keturunan yang sama (common ancestor). Keturunan yang awal ini kemudiannya berubah daripada satu tahap ke tahap yang lain demi menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran yang sentiasa berubah. Hasil daripada perubahan-perubahan itu yang memakan masa jutaan tahun, akhirnya lahirlah makhluk yang kompleks yang bernama manusia. Beliau mengutarakan pendapatnya dalam bukunya yang bertajuk The Origin of Species by Means of Natural Selection pada tahun 1859. 

Jika teori ini benar, kita pasti akan bertemu dengan banyak makhluk pertengahan yang berbentuk separuh binatang separuh manusia, separuh binatang laut dan separuh binatang darat, serta separuh burung dan separuh haiwan biasa kerana teori evolusi menuntut kewujudan makhluk-makhluk ini sebagai bukti tentang kebenarannya. Namun hingga ke hari ini makhluk seumpama itu tidak ditemui sehingga pada suatu ketika Darwin sendiri meragui teorinya. 

Dalam bukunya yang bertajuk The Origin of Species beliau berkata, “Jika makhluk-makhluk berubah daripada satu spesies ke spesies yang lain, mengapakah tidak ditemui spesies yang pertengahan itu (transitional forms)? Mengapakah kehidupan wujud dalam keadaan teratur dan tidak kelam-kabut? Mengapakah makhluk penghubung antara satu jenis spesies dengan spesies yang lain tidak wujud? Perkara inilah yang memeningkan kepalaku selama ini!” Kenyataan ini dilaporkan dalam The Origin of Species by Means of Natural Selection or the Preservation of Favoured Races in the Struggle for Life (Charles Darwin; Senate Press, London, 1995) 

Untuk membuktikan kewujudan spesies pertengahan ini, penipuan demi penipuan telah dilakukan oleh ahli-ahli sains tertentu. Sebagai contoh pada tahun 1912 diisytiharkan penemuan tulang rahang dan tempurung otak makhluk yang digelar sebagai Piltdown Man. Tulang-tulang ini ditemui di Piltdown, England, oleh seorang ahli sains yang bernama Charles Dawson. Ia dikatakan makhluk daripada spesies pertengahan antara binatang dan manusia. 

Selepas beberapa ujian dilakukan akhirnya pada tahun 1953 didedahkan bahawa tulang rahang Piltdown Man diambil daripada seekor orang hutan yang baru meninggal dunia dan tempurung otaknya daripada tempurung otak manusia yang sebenar. Hal ini dilaporkan dalam artikel bertajuk Smith Woodward’s Folly oleh Stephen Jay Gould dalam majalah New Scientist, 5 April 1979. 

Secara dasarnya teori Darwin menafikan kewujudan Tuhan. Kuasa penentu dalam proses evolusi ini adalah natural selection atau ‘kuasa semula jadi’. 

Sebenarnya untuk teori Darwin menjadi kenyataan, hidup-hidupan perlu berubah secara berperingkat-peringkat melalui proses mutasi. Mutasi ialah proses perubahan yang berlaku ke atas sesuatu sel disebabkan perubahan yang berlaku ke atas sistem genetiknya. Justeru, andai kata teori ini diguna pakai, evolusi atau perubahan seekor ikan pada zaman dahulu kepada manusia bermula dengan proses mutasi yang berlaku ke atas gen ikan berkurun-kurun lamanya sehingga akhirnya ia bertukar menjadi gen manusia yang melahirkan manusia. Adakah pandangan ini dianggap logik? 

Pada hari ini pakar-pakar sains mula mempertikaikan pandangan ini, sebagai contoh Dr. Lee Spetner. Beliau, yang mengajar di Universiti Johns Hopkins dan Institut Weizman, telah mengkaji proses mutasi di peringkat molekul selama bertahun-tahun lamanya. Dalam buku beliau yang bertajuk Not by Chance: Shattering the Modern Theory of Evolution (Judaica Press, ISBN: 1880582244, 1998), beliau menegaskan, “Proses mutasi mengurang dan bukan menambah maklumat genetik.” Dalam bahasa yang mudah ia bermaksud, mutasi menyebabkan kecacatan bukannya kemantapan, justeru, ikan tidak mungkin bertukar menjadi makhluk yang lebih mantap bernama manusia. Justeru, teori evolusi merupakan satu teori yang dangkal yang tidak dapat diterima oleh sains.

Teori Darwin membuang kuasa Tuhan dan menggantikannya dengan Kuasa Kebetulan atau Kuasa Semula Jadi. Jika inilah kepercayaan Darwin, akan timbul pelbagai persoalan besar yang sukar dijawab dengan semata-mata menggunakan teori ini. Sebagai contoh, bagaimanakah sel pertama wujud? Bagaimanakah sel ini mampu berkembang dengan sendirinya untuk menjadi makhluk yang pertama? Bagaimanakah ia menyusun protein-protein dengan cara yang begitu teratur sehingga mampu melahirkan makhluk yang kompleks? 

Mengikut Sir Frances Crick, seorang saintis yang pernah dianugerahkan hadiah Nobel kerana menemui struktur DNA, untuk kesemua proses ini berlaku secara kebetulan ia adalah suatu yang mustahil. Dalam bukunya yang bertajuk Life Itself: Its Origin and Nature (New York, W.W. Norton, 1982), beliau memberikan satu contoh yang berkaitan dengan kejadian protein. Untuk asid-asid amino bercantum mengikut urutan yang betul demi melahirkan hanya satu protein, terdapat 10 kuasa 260 kemungkinan yang boleh berlaku. 

Daripada kemungkinan yang begitu banyak ini bagaimana asid-asid amino menentukan pilihannya dengan tepat sehingga akhirnya dapat melahirkan bukan hanya satu protein malah pelbagai jenis protein yang tahu pula untuk berinteraksi dengan tepat dan memilih suasana yang tepat untuk melahirkan satu jenis hidupan? Justeru bagi Sir Frances Crick teori Darwin merupakan satu teori yang tidak berasas di sudut sains.

Justeru pada hari ini semakin ramai para saintis yang mempertikaikan teori evolusi Darwin. Islam menentang teori Darwin sebagaimana Islam menentang kesemua teori yang tidak saintifik apatah lagi yang jelas mengingkari kewujudan kuasa Tuhan. Berhubung dengan asal usul manusia, umat Islam sepatutnya tidak melupakan sabda Nabi yang bermaksud, “Manusia berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah.” Hadis ini diriwayatkan oleh Tirmizi dan Abu Daud.

Oleh Dr Danial bin Zainal Abidin,

Pulau Pinang.

1 Kertas Kerja ini dibentangkan sempena Kolokium Islam Pahang ‘Meraikan Ilmu’ Siri 4 pada 18-20 Oktober 2014 di Panggung Tun Razak, Muzium Sultan Abu Bakar, Pahang.