MEREKONSTRUKSI SEJARAH PENDIDIKAN PONDOK DI WILAYAH TIMUR LAUT SEMENANJUNG MALAYSIA

MEREKONSTRUKSI SEJARAH PENDIDIKAN PONDOK DI WILAYAH TIMUR LAUT SEMENANJUNG MALAYSIA

MOHD ZAHIRWAN HALIM ZAINAL ABIDIN¹

RAHIMIN AFFANDI ABD RAHIM²

ABD. MUNIR MOHD NOH¹

AHMAD FIRDAUS MOHD NOOR¹

MAZLAH YAACOB¹

¹ Akademi Pendidikan Islam Kontemporari

Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak,

Seri Iskandar, 32610, Bandar Baru Seri Iskandar, Perak, Malaysia

²Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh,

Akademi Pendidikan Islam Universiti Malaya,

50603, Kuala Lumpur, Malaysia

mohdz560@.uitm.edu.my

ABSTRAK

Kedatangan Islam ke Malaysia telah memberi impak terhadap realiti kehidupan masyarakat Melayu sama ada dalam aspek kepercayaan, amalan, kebudayaan dan keilmuan. Antara negeri terawal yang dikatakan menerima Islam di Malaysia ialah negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu bermula abad ke 11 M sehingga ke abad 13 M. Proses keislaman ini telah memberi satu gambaran awal bahawa tidak dinafikan kewujudan institusi-institusi pendidikan Islam seperti institusi pendidikan pondok telah berlaku. Namun, sesetengah daripada bukti kewujudannya tidak dapat dikenalpasti melalui kajian saintifik berbentuk arkeologi atau ekskavasi kerana beberapa faktor antaranya faktor masa dan cuaca. Informasi-informasi berkaitan kewujudan institusi pendidikan pondok di sesetengah negeri hanya dapat dikenalpasti melalui dokumen-dokumen lama berbentuk manuskrip atau maklumat lisan secara turun temurun.

Justeru, kajian ini menfokuskan terhadap merungkai dan memperincikan sejarah institusi pendidikan pondok di wilayah timur laut semenanjung Malaysia. Bagi mencapai objektif tersebut, kajian ini menggunakan kajian kualitatif berasaskan kajian kepustakaan sepenuhnya. Data-data yang diperolehi akan dianalisis secara kandungan berbentuk deskriptif. 

Hasil kajian mendapati institusi pendidikan pondok paling awal di Malaysia telah ditubuhkan di negeri-negeri wilayah Timur Laut Semenanjung Malaysia iaitu bermula di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan. Seterusnya, institusi ini terus berkembang ke negeri-negeri lain di semenanjung Malaysia seperti ke negeri Kedah dan negeri Perak. Suasana perkembangan budaya keilmuan yang dijalankan di institusi ini telah memberikan impak yang besar terhadap perkembangan ilmu pengetahuan dan kelahiran para ulama yang berkaliber.

Kata Kunci : Rekonstruksi, sejarah, pondok, wilayah timur laut, semenanjung Malaysia 

Pengenalan

Kedatangan Islam ke Nusantara telah memberikan impak yang besar terhadap pelbagai aspek kehidupan antaranya kepercayaan, sosiobudaya dan perkembangan ilmu. Di Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu, kedatangan Islam dikatakan bermula sejak abad ke 9 M lagi iaitu di negeri Kedah. Antara negeri terawal yang menerima Islam ialah negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu negeri Pahang (11 M), Kelantan (12 M) dan Terengganu (13 M). Antara kesan islamisasi di Malaysia ialah dalam sektor pendidikan dengan kemunculan institusi-institusi pengajian Islam serta kelahiran para ilmuan dan ulama yang ulung.

Pendidikan yang komprehensif merupakan asas dalam pembinaan peradaban dan tamadun Islam. Islam mengangkat ketinggian ilmu pengetahuan yang diperolehi melalui pendidikan kerana dengan ilmu tersebut ianya dapat membezakan antara manusia dan makhluk lain (Khadijah Mohd Khambali@Hambali & Nor Adina Abd Kadir, 2005). Dalam konteks institusi pendidikan Islam khususnya di Malaysia, institusi pendidikan pondok merupakan antara institusi yang telah berupaya melahirkan ramai para ilmuan atau ulama sejak zaman awal penubuhannya. Sumbangan institusi ini dalam memartabatkan budaya ilmu sememangnya tidak dapat dinafikan. Sebagai pusat pendidikan Islam formal yang terawal di Malaysia, usaha-usaha pendidikan yang dilaksanakan oleh para ulama telah menghasilkan individu yang cemerlang sama ada dalam aspek duniawi atau ukhrawi. 

Penghargaan

Dapatan ini telah dibiayai oleh skim geran penyelidikan FRGS/1/2019/SS103/UM/02/6 yang bertajuk “Module Development on the Deradicalisation of Religious Terrorism based on the Local Malay-Muslim Approach” yang telah dianugerahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan skim geran penyelidikan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah – Muzium Pahang (ASA-RC) yang bertajuk Meraikan Ilmu (ASARC-MUSEOLOGI/001/2021). Sehubungan dengan itu, pihak penulis ingin mengucapkan terima kasih kepada KPM dan ASA-RC atas sumbangan dana yang telah diberikan.