PUSAT KAJIAN SEJARAH DAN TAMADUN AL-SULTAN ABDULLAH – MUZIUM PAHANG (AL-ASAR)
PENGENALAN – MUZIUM PAHANG
Muzium merupakan sebuah institusi kemanusiaan yang amat penting, sama seperti pentingnya budaya dan tradisi kepada sesebuah bangsa. Penubuhan muzium adalah berdasarkan pengumpulan dan pemuliharaan artifak-artifak bermakna warisan sejarah dan budaya, seterusnya menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan serta mengetengahkan ilmu yang diperolehi kepada masyarakat melalui pelbagai media seperti pameran, penerbitan, bengkel, seminar dan persidangan. Walaupun muzium merupakan simbol dan bekas-bekas penting perjalanan ketamadunan dan budaya ilmu dan kemahiran yang banyak dimiliki oleh masyarakat barat, dan masyarakat Timur yang besar, namun peranan penting muzium kita dalam melestarikan warisan sejarah, budaya dan peradaban serta menyebarluaskan ilmu dalam masyarakat kita harus dipertingkatkan. Melalui muzium kita dapat menteladani masa lalu, menghargai masa kini dan merancang masa depan.
Allah SWT selalu menyuruh manusia mengembara melihat bekas-bekas peninggalan umat-umat terdahulu untuk melihat sebahagian dari tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, meraih pengajaran bermenafaat untuk mereka yang berfikir-benar dan untuk generasi akan datang. Contohnya dalam surah al-Rum (30): 42;
“Katakanlah (Wahai Muhammad) Mengembaralah ke setiap pelusuk Bumi dan renung-fikirlah nasib orang-orang sebelum kamu…”
Juga di dalam surah Ali-Imran (3):137 Allah SWT menegaskan bahawa
“Sistem-sistem kehidupan telah wujud dan berlalu sebelum kamu. Maka mengembaralah dan renung-fikirkanlah akibat mereka…”
Muzium Pahang telah ditubuhkan atas cetusan idea Allahyarham Tun Haji Abdul Razak. Pada 14 Ogos 1975, Dewan Undangan Negeri Pahang Darul Makmur telah meluluskan Enakmen Lembaga Muzium Negeri Pahang bil. 1/1975 dan satu upacara penyerahan laporan kemajuan penubuhan Lembaga Muzium Negeri Pahang oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Negeri Pahang kepada Lembaga Muzium Negeri Pahang telah diadakan di Istana Kota Beram pada 30 Julai 1975. Pada 26 Ogos 1975, majlis penyerahan sijil pelantikan ahli-ahli Lembaga Muzium Negeri Pahang telah disempurnakan oleh Dato’ Muhammad Jusoh, Menteri Besar Pahang pada ketika itu dan Tuan Haji Mokhtar bin Haji Mohd Daud, A.M.N., telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pahang yang pertama. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan menyerahkan Istana Kota Beram kepada Lembaga Muzium Negeri Pahang untuk dijadikan sebagai muzium negeri yang pertama. Pada 21 Oktober 1976 Istana Kota Beram secara rasminya telah dijadikan sebagai sebuah muzium dengan nama ‘’Muzium Sultan Abu Bakar’’.
Penubuhan Muzium Pahang juga pada peringkat awal bertujuan untuk menyelamatkan warisan sejarah dan budaya dengan cara mengumpul, memelihara, memulihara, menyimpan dan mempamerkan barang lama dan baru yang mempunyai nilai sejarah dan budaya kepada negeri Pahang khasnya dan Malaysia amnya. Namun, dari masa ke masa peranan tersebut telah disesuaikan dengan realiti global semasa. Pameran yang diadakan bukan sahaja berteraskan artifak oriented semata-mata tetapi juga mengambil kira keperluan masyarakat dan isu semasa yang berkaitan. Program-program capaian juga diperbanyakkan ke setiap peringkat masyarakat terutama pelajar sekolah melalui pameran berkala, Program ‘The Young & Our Heritage’ dan Kem Mesra Purba. Lebih banyak penyelidikan dan kajian lapangan dijalankan serta lebih kerap program seminar, kolokium dan persidangan diadakan yang bertujuan untuk mengumpul pelbagai ilmu untuk didokumentasikan dan dibukukan. Malah, beberapa penulisan dan artikel juga telah diterima dan diterbitkan dalam pelbagai jurnal di atas talian. Selain daripada itu, usaha untuk mendapatkan seberapa banyak buku, jurnal, monograf, travelogue, makalah dan lain-lain lagi bahan bacaan telah dan sedang dijalankan bagi menambah koleksi perpustakaan muzium dipelbagai lokasi untuk memudahkan sumber rujukan berguna dapat dicapai oleh masyarakat.
Melalui segala usaha yang telah dilakukan, Muzium Pahang menyedari akan kepentingan ilmu yang luas dan bermakna dalam perkembangan komprehensif pemikiran masyarakat serta pembangunan modal insan negara, terutama di zaman ini dan akan datang di mana setiap lapisan rakyat negara ini akan cepat dan mudah terdedah dengan pelbagai maklumat dan tafsiran terutama tentang sejarah dan tamadun bangsa dan umat dari pelbagai sumber dan kepentingan yang kerap kali boleh menimbulkan kekeliruan dan perpecahan. Justeru, perlunya sebuah pusat kajian dan penyelidikan khas dengan dana yang berterusan dan dianggotai oleh pakar-pakar dari pelbagai bidang ilmu ditubuhkan bagi memikul tranggungjawab tersebut. InsyaAllah, hasrat ini akan dapat dizahirkan melalui penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah – Muzium Pahang (AL-ASAR) .
IDEA PENUBUHAN
Idea penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah – Muzium Pahang (AL-ASAR) ini adalah untuk mengadakan lebih banyak usaha-usaha penyelidikan (re-visit, re-evaluate) dan penulisan semula (re-write) bagi memberi jenama yang lebih kukuh (re-brand) khususnya kepada warisan sejarah dan budaya negeri mahupun negara. Oleh kerana negeri Pahang dan negara Malaysia tidak pernah terpisah dengan perkembangan pemikiran dan tamadun Islam di tempat-tempat lain, dan juga dengan perkembangan pemikiran dan tamadun-tamadun lain, maka, pusat kajian ini akan menjadi pusat kajian tamadun dan pemikiran serta falsafah tokoh-tokoh besar Islam dunia dan yang dari agama dan tamadun lain. Ini akan membolehkan setiap lapisan penting rakyat negeri dan negara ini berupaya menyumbang dengan positif bukan sekadar kepada negara malah juga kepada umat Islam dan masyarakat global. Bagi mencapai tujuan penuh strategis tersebut, pusat kajian ini akan dibantu oleh ahli akademik dan pakar-pakar dari pelbagai bidang termasuklah bidang kesenian dan permuziuman dari dalam dan luar negara. Rangkaian kerjasama strategik juga akan diadakan bukan sahaja dengan institusi-institusi pengajian tinggi dan orang-perseorangan tetapi juga bersama agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan dalam pelbagai bidang. Idea penubuhan pusat kajian ini mendapat sokongan penuh daripada penaung diraja Muzium Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang juga merupakan Tengku Ampuan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Dengan restu dan sokongan baginda idea penubuhan pusat kajian ini telah berjaya direalisasikan. Alhamdulillah.
Falsafah
Falsafah Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah – Muzium Pahang (AL-ASAR) adalah berasaskan kepada keyakinan bahawa perlunya jalinan antara umara’ (pemerintah) dan ulama’ (cendekiawan) dalam membangunkan sejarah dan tamadun bangsa. Gabungan antara umara’ dan ulama’ ini mampu menghasilkan hikmat kebijaksanaan, kekuatan, keamanan dan kesejahteraan sejagat sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 269:
“Allah memberikan hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa yang dikehendakinya. Dan sesiapa yang diberikan ilmu pengetahuan bererti ia telah diberikan kebaikan yang banyak.”
Sejarah telah merakamkan bahawa peradaban Islam telah menyumbang kepada limpahan ilmu pengetahuan dengan sangat cemerlang kepada masyarakat dunia dalam tempoh beberapa abad berdasarkan kepada bukti peninggalan warisan sejarah kemodenan di Eropah seperti di Cordova, Andalus, Granada dan Kepulauan Sicily serta kota Baghdad di Iraq. Perkembangan ini telah memberikan impak yang sangat besar kepada kehidupan masyarakat dunia amnya dan barat khasnya kemajuan dalam bidang keilmuwan.
Uthman Ghazi, pengasas kepada Daulah Uthmaniyyah yang tersebar di tiga benua besar Asia, Eropa dan Afrika dalam masa begitu lama sejak 1300-1928 telah berpesan kepada pengganti beliau;
“Hindarilah orang-orang yang tidak memiliki nilai-nilai keagamaan dan orang-orang yang hidup seperti cara hidupnya orang-orang bodoh, serta mereka yang tidak memiliki kepakaran. Jauhilah orang-orang tersebut, dan jangan kamu serahkan urusan negara kepada mereka. Sebab orang yang tidak takut kepada pencipta, pasti tidak akan disayang oleh makhluk.”
Namun, sejak abad ke-18 ini menyaksikan bahawa kemahiran teknologi, ilmu kemanusiaan dan sains moden yang muncul dan berkembang di barat telah mengambil alih peranan terdahulu peradaban Islam. Bahkan kepakaran teknologi, ilmu kemanusiaan dan sains moden barat kini semakin mendapat tempat dan mempengaruhi pemikiran sebahagian masyarakatnya termasuklah umat Islam.
Justeru, dalam membina kembali kegemilangan tamadun bangsa ini, Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah – Muzium Pahang (AL-ASAR) mengorak langkah dengan bertekad melaksanakan visi, misi dan objektif yang ditetapkan.
Visi
Melahirkan masyarakat berfikiran aras tinggi dan beradab tinggi, berakhlak mulia berteraskan ilmu yang luas dan benar, pemahaman sejarah yang tepat dan bermakna dan yang berupaya meninggikan kualiti pemikiran dan tamadun bangsa.
Misi
Menjadi pusat pertemuan para ilmuan, penyelidikan, pengumpulan sumber dan pengembangan ilmu
Objektif
- Menjalankan penyelidikan yang bermanfaat besar dalam disiplin ilmu terpilih (arkeologi, sejarah, pemikiran, tamadun dan sains politik) dengan menggunakan pelbagai kepakaran, sumber serta jaringan kerjasama bagi menghasilkan produk ilmiah melalui gerak kerja sistematik dan rentas-displin;
- Memelihara, meningkat dan menyebar kefahaman ilmu sejarah dan tamadun yang sahih kepada masyarakat melalui penganjuran program, penyiaran dan penerbitan pelbagai hasil ilmiah dengan memanfaatkan kepakaran, pengurusan sumber yang berkesan dan rangkaian kerjasama strategik;
- Menjana, menyebar dan mengkhazanah ilmu yang beracuan kebangsaan dan ummatik;
- Mengantarabangsakan kajian mengenai sejarah dan ketamadunan negeri Pahang khususnya dan Malaysia amnya; dan
- Membina potensi anak bangsa yang berilmu, berketerampilan, beradab, berakhlak dan bersemangat patriotik.
KEPENTINGAN PUSAT KAJIAN SEBAGAI PUSAT MERAIKAN ILMU
Sejarah tamadun dunia mencatatkan bahawa terdapat jalinan lima institusi serentak yang bertanggungjawab membangunkan sesuatu tamadun iaitu kepemimpinan, universiti, muzium, arkib dan perpustakaan. Kesemuanya terlibat di dalam mengumpul-merawat, menyelidik dan mendidik ahli masyarakat menggunakan warisan sejarah. Atas dasar itu, Wan Mohd Nor Wan Daud (1991, 2019) dan Margaret Hedstrom (2006) telah mengkategorikan institusi-institusi ini sebagai budaya tinggi milik sesuatu tamadun. Lebih rinci lagi, keempat institusi ini terlibat secara langsung dalam membangunkan budaya ilmu yang menjadi teras kepada pembangunan sesuatu tamadun. Budaya ilmu ini terdiri daripada beberapa perkara:
- Penjagaan warisan sejarah dalam bentuk ketara (tangible) dan tidak ketara (intangible) yang memcerminkan jati diri sesuatu tamadun.
- Kewujudan suatu keadaan setiap lapisan masyarakat melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan pada setiap kesempatan;
- Pencarian ilmu dianggap sebagai matlamat tertinggi yang ingin dicapai, di mana semua ahli masyarakat terlibat secara langsung dalam aktiviti belajar, menyelidik, menyebar dan menaja program ilmu.
- Sifat keterbukaan dalam perbedaan – terbuka untuk belajar dengan pandangan orang lain.
- Anti kepada kejahilan dan bebalism (sifat negatif yang muncul akibat kejahilan). Ia ditakrifkan sebagai sifat rohani yang lemah, degil dan enggan berubah walaupun diberikan maklumat yang betul.
- Keadaan di mana segala tindakan manusia baik pada tahap individu atau masyarakat, ditentu dan diputus serta dilaksana berdasarkan ilmu pengetahuan. Lebih tepat lagi, setiap keputusan dalam hidup dibuat berdasarkan kriteria ilmu dan bukannya dibuat atas dasar kronisme dan nepotisme.
- Sikap hormat – kritis terhadap pandangan sarjana silam. Ia disertakan dengan pendekatan kritis dan selektif dengan budaya asing.
- Tingginya semangat dan budaya membaca dalam masyarakat.
- Menghargai semua bentuk ilmu sama ada ilmu fardu ain dan kifayah.
Berdasarkan kepada 9 butiran budaya ilmu di atas, kita berpendapat bahawa maksud sebenar meraikan ilmu tidak harus dilihat secara retorik semata-mata, tetapi perlu membabitkan empat perkara;
- Memahami maksud sebenar budaya ilmu.
- Mengumpul maklumat dan bahan sejarah ilmu.
- Mempelajari hikmah atau manfaat daripada semua jenis ilmu.
- Mempelajari secara teori dan aplikasi atau pelan tindakan untuk sesuatu budaya ilmu.
Pusat Kajian Sejarah Dan Tamadun Sultan Abdullah – Muzium Pahang (AL-ASAR) Sebagai Institusi Intellectual Circle (Pekan Circle)
Kepentingan Pusat Kajian Sejarah Dan Tamadun Al-Sultan Abdullah – Muzium Pahang (AL-ASAR) kepada bidang keilmuan dapat dilaksanakan dengan memainkan peranan sebagai platform bagi Pekan Circle. Ia adalah sebuah institusi yang bakal dianggotai oleh sekelompok sarjana – intellectual circle, yang memainkan peranan memajukan keilmuan. Dalam sejarah perkembangan keilmuan dunia, peranan intellectual circle ini amat penting sekali. Mereka dikesan memperjuangkan konsep, teori dan paradigma dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan. Menambah cadangan Zaini Ujang dalam bukunya ‘Mengangkasa Pengajian Tinggi’, konsep intellectual circle ini mengandungi beberapa ciri asas;
- Mempunyai kepakaran dengan kelulusan akademik dan profesional tertinggi.
- Terdiri daripada golongan ilmuan dan profesional yang berpengalaman dalam bidang khusus serta terlibat dalam NGO dan sebagai jawatankuasa akademik dalam dan luar negeri-sebagai external examiner jurnal dalam dan luar negeri.
- Terlibat dalam wacana dan mengamalkan budaya ilmu yang merentas-disiplin, bersepadu dan berterusan, mengamalkan sikap keterbukaan dalam proses penganalisaan teori dan penjanaan idea baru yang lebih bersifat praktikal.
- Membawa idealisme dan falsafah pemikiran tertentu berteraskan pandangan alam Islam; mengamalkan pemikiran strategik untuk memajukan pelbagai niche area yang sangat diperlukan untuk kepentingan manusi; yang mengenalpasti idea dan teori baru serta mengkaji dan menganalisisnya secara kritikal.
- Menzahirkan adab dan akhlak yang tinggi dan mulia dalam setiap usaha dan kegiataan.
- Mengenalpasti masalah yang timbul dalam masyarakat dan mengemukakan jalan penyelesaian masalah yang sepatutnya pandangan alam, necara adab-akhlak serta keperluan bangsa dan umat kita.
- Mampu mempengaruhi aktor politik dan menerapkan hasil perjuangan di dalam institusi pendidikan tinggi dan institusi-institusi latihan ikhtisas profesional dan menerbitkan pelbagai tulisan-tulisan yang bermakna.
Mengikut Profesor Hashim Musa, terdapat suatu aksioma yang dipegang dalam dunia ilmu iaitu :
“jatuh dan bangunnya sesuatu tamadun manusia bergantung sepenuhnya dengan kecanggihan pemikiran yang dihasilkan oleh seseorang pemikir agung di zamannya. Hasil pemikiran ini bukannya bersifat retorik kosong semata-mata tetapi perlu dibuat dalam bentuk action-oriented (blueprint lengkap) yang boleh dimanafaatkan oleh kalangan masyarakat.”
Contoh yang cukup relevan adalah apa yang disumbangkan oleh Ibn Khaldun dan Ibn Rushd. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Ibn khaldun memang telah meninggalkan impak yang cukup besar kepada program pembangunan masyarakat, seperti mana terkandung di dalam disiplin sosiologi. Ketokohannya ini telah diakui oleh sebahagian besar daripada kalangan sarjana moden, termasuklah sarjana barat sendiri. Ia dianggap sebagai pengasas utama kepada ilmu sosiologi yang mengkaji struktur sosial di dalam sesuatu masyarakat. Bahkan, dalam banyak hal ketokohannya telah disamakan dengan Ibn Rushd, yang membawa paradigma pemikiran saintifik untuk ilmu S&T moden- yang mempengaruhi perkembangan Renaisance (kesedaran baru berasaskan pembangunan ilmu saintifik) di dalam masyarakat barat.
Walau bagaimanapun, kelahiran tokoh-tokoh pemikir ini juga perlu didokong dengan pembinaan budaya ilmu yang bersepadu dan jitu bagi membolehkan perkembangan ilmu berjalan dengan lancar. Hal ini kerana, pembinaan budaya ilmu adalah faktor terpenting dalam menentukan kejayaan dan kekuatan sesuatu bangsa atau umat. Sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan dan kekayaan tidak boleh mempertahankan miliknya, apatah lagi mengembangkannya tanpa budaya ilmu yang baik. Justeru, kewujudan pusat kajian bukan sekadar menjadi platform kepada Pekan Circle tetapi juga perlu memainkan peranan menerapkan budaya ilmu di kalangan masyarakat. Menurut Professor Dr Wan Mohd Nor Wan Daud di dalam bukunya, Budaya Ilmu Makna dan Manifestasi Dalam Sejarah dan Masa Kini (2019), untuk melahirkan masyarakat yang berbudaya ilmu, sikap menghormati ilmu, membenci kejahilan dan kebebalan, menerapkan usaha-usaha menambah ilmu dan mengamalkannya perlu diterap oleh setiap lapisan masyarakat. Malah, segala tindakan baik ditahap individu, apatah lagi di peringkat masyarakat, perlu diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahupun syura. Budaya ilmu yang sihat akan melahirkan masyarakat yang bijak dan berupaya berfikiran kritis terhadap sesuatu perkara dan ini seterusnya akan memberi kesan yang positif kepada pembangunan negara bangsa.
Tambah Prof Wan Mohd Nor lagi, pembinaan budaya ilmu bersepadu bukan impian yang tidak mungkin tercapai. Untuk membina budaya ilmu bersepadu kita memerlukan perubahan nilai dan pandangan hidup. Pandangan dan nilai hidup bersepadu yang berteraskan kepercayaan mutlak kepada Allah SWT, kenabian Muhammad, kejadian manusia daripada roh, dan jasad serta peranannya sebagai abdi Allah SWT dan sekaligus sebagai khalifah pentadbir alam. Pandangan dan nilai hidup ini mengambilkira bahawa alam raya ini bukan sahaja yang dapat dilihat dan dirasa, tetapi melibatkan sama aspek non-material. Sistem nilai tersebut meletakkan keutamaan yang tinggi kepada ilmu sebagai unsur terpenting dalam pembinaan peribadi dan masyarakat. Beliau menegaskan kewujudan budaya ilmu bersepadu, bukan budaya ilmu serpihan atau picisan, secara automatis akan memberi arah dan kaedah yang lebih adil dan bertanggungjawab dalam falsafah dan rancangan serta pelaksanaan pembangunan rakyat dan negara.
Kepentingan Aset Sejarah Pahang
Pahang dilihat memiliki aset sejarah Islam yang berharga. Antaranya;
- Pahang Berada Di Lokasi Strategik Di Tengah Jalan Perdagangan Cina Dengan Tanah Arab. Ini menyebabkan ia menerima pengaruh mubaligh awal (Arab dan Cina) yang datang sejak awal lagi. Hal ini terbukti dengan penemuan artifak Batu Nisan di Permatang Pasir, Pekan, Pahang. Memang menjadi fakta sejarah yang diakui di mana tersebarnya Islam, sudah pasti akan wujud institusi pengajian ilmu Islam di kawasan terbabit. Hal ini kemudiannya telah memberi impak besar dalam kehidupan; akidah, pemikiran dan world-view tauhid yang bertindak memajukan masyarakat.
- Pengaruh Islam Daripada Jiran Sekitar (Kelantan dan Terengganu) dan sifat Masyarakat Melayu Maritim. Pahang secara langsung terkena percikan penyebaran ilmu-ilmu Islam akibat terciptanya tulisan Jawi. Ia telah menjadi medium utama penyebaran ilmu-ilmu Islam. Masyarakat Melayu maritim telah melahirkan masyarakat Kosmopolitan di Pahang. Antara sifat positif masyarakat maritime ini adalah mereka terbuka dengan difusi budaya asing, fleksibel menerima dan selektif dengan elemen asing. Hal ini terbukti apabila masyarakat Melayu Pahang menerima golongan Syed di Pahang.
- Pengaruh Kerajaan Melayu Luar (Patani, Sriwijaya, Terengganu, Palembang dan Aceh) Dicatatkan Mempunyai Hubungan Langsung Dengan Pahang. Antara pengaruh ini adalah;
- Hubungan diplomatik dengan Aceh dan Pattani – kerabat diraja Acheh dan Patani direkodkan mempunyai pertalian saudara dengan kerajaan Pahang Lama.
- Kerajaan Sriwijaya (pusatnya di Palembang) dan Majapahit pernah berusaha meluaskan pengaruh mereka di Pahang kerana status Pahang sebagai kawasan kerajaan Melayu terbesar di Tanah Melayu.
- Terengganu (jiran terdekat Pahang) di zaman silam yang berpusat di Kuala Berang pernah menjadi jajahan takluk empayar Islam daripada Indonesia (era sebelum kerajaan Sriwijaya). Hasilnya, Terengganu telah menerima pelaksanaan Syariah Islam dan menerima pakai gelaran Mandulika untuk pemerintahnya. Terpenting sekali, perkembangan ilmu Islam kerana wujudnya tulisan Jawi terawal sudah pasti terkena kesannya ke Pahang.
- Pahang di zaman empayar Melaka pernah menjadi kawasan terpenting yang selamat bagi pelarian perang bersembunyi dan pusat buangan anak raja Melaka.
- Pahang sangat erat hubungan dengan kerajaan Johor-Riau berpusat di Pekan Baru selepas kejatuhan empayar Melaka. Pahang dan kawasan empayar Johor-Riau lain sering menjadi kawasan transit sultan Melaka dalam usaha melarikan diri daripada kuasa Portugis. Pahang juga menjadi pusat gerakan kerajaan Melayu Johor Riau dalam usaha melawan kuasa Belanda. Pahang dijadikan pusat mendapatkan bantuan, mengatur strategi dan persembunyian raja Johor-Riau melawan kuasa Belanda.
- Kewujudan Kerajaan Dan Negara Kota Yang Baik. Ia terletak di kawasan lembayung tamadun Melayu lama di sebelah kawasan Timur Laut Tanah Melayu. Bukti wujudnya sebuah negara kota dapat dilihat daripada teks Hukum Kanun Pahang. Ia dibantu dengan pengaruh hubungan diplomatik dengan kerajaan luar seperti Aceh dan Melaka.
- Pahang Pernah Menjadi Kawasan Ekonomi Penting Kerajaan Melayu Yang Dominan Sebelum Kewujudan Empayar Melaka Dan Johor-Riau. Hal ini boleh dilihat daripada;
- Mengikut catatan pengembara Eropah, kawasan Tanah Melayu seperti Pahang, Gunung Ledang dan Sumatera pernah digelar sebagai Semenanjung Emas kerana memiliki lombong emas yang besar. Hal ini terbukti apabila kawasan Pahang, Jelai dan Sungai Lembing pernah menjadi tumpuan orang Burma dan Siam melombong emas di kawasan terbabit.
- Pelabuhan Pahang Lama (pekan) sangat maju di zaman pemerintahan Sriwijaya yang berpusat di Palembang dan Majapahit. Pelabuhan Pahang dan Pulau Tioman pernah menjadi pelabuhan penting untuk kapal dagang yang melalui jalan perdagangan antarabangsa. Hal ini dicatat oleh pengembara Cina, Indonesia, Arab-Islam dan barat. Seperti mana Terengganu pernah menjadi pusat pelabuhan tentera-mubaligh Islam zaman kerajaan Umaiyah iaitu panglima khalifah Sulayman Abdul Malik dalam perjalann ke China dan pusat persinggahan armada Laksamana Cheng Ho; secara pastinya kawasan pelabuhan Pahang (Pekan dan Pulau Tioman) turut menerima pengaruh ketenteraan empayar Islam luar ini.
- Sungai Pahang pernah menjadi jalan air termaju menghubungkan Pahang dengan Sungai Muar, sungai dan jalan air termaju di zaman silam.
- Hasil bumi Pahang terpenting adalah hasil hutan, emas, timah dan bijih besi. Hal ini diakui oleh para pedagang British, China, Burma dan Indonesia yang mana semuanya diangkut menggunakan jalan laut dan sungai.
- Pahang pernah cuba ditakluk oleh kerajaan Siam kerana kedudukannya yang strategik.
- Pahang Adalah sebahgian penting dari sejarah dan tamadun Islam di Alam Melayu yang agong seperti yang dihuraikan oleh Prof tersohor Syed Muhmmad Naquib al-Attas. Kawasan Terpenting Seperti Melting Pot Iaitu Pusat Yang Menerima Pengaruh Islam Luar Dan Pusat Jalinan Intelektual Melayu Islam. Ia terdiri daripada:
- Ia menerima kedatangan ulama terkenal daripada luar. Hal ini terbukti dengan wujudnya beberapa pengaruh ulama Aceh di Pahang. Kitab Siratul Mustaqim susunan Nuruddin al-Raniri yang selesai ditulis di Pahang sangat penting kerana ia adalah kitab fiqh terawal di Alam Melayu. Sebelum itu, ilmu Islam hanya disampaikan secara lisan dan dalam bentuk karya yang terpenggal. Kitab Siratul Mustaqim ini secara khusus mengandungi persoalan fiqh untuk tujuan ibadat masyarakat Melayu. Ia dijadikan rujukan di beberapa sistem pondok di Alam Melayu. Abu Hassan Sham (1998) menegaskan bahawa Pahang pernah menjadi pusat Tarikat Tasawuf Falsafah Wujudiah (Teluk Pelang) bila mana dicatatkan terdapat guru kepada Hamzah Fansuri. Fahaman Sufi ini pernah menimbulkan polemik besar di Alam Melayu bila mana Pahang dan Aceh menjadi pusat utama berlakunya polemik ini. Tarikat ini terus berkembang menjadi ajaran Martabat Tujuh yang dibawa ke Pahang oleh Tuk Mengkarak.
- Penaklukan Aceh ke atas Pahang pada tahun 1671 telah menyebabkan Pahang terdedah secara langsung perkembangan ilmu Islam yang dibangunkan oleh ulama Aceh. Atas sebab itu ilmu Islam menjadi semakin marak berkembang di Pahang. Sayugia diingat bahawa ilmu Islam Alam Melayu dibentuk asasnya, metodologi, epistemologi dan pegangan mazhab oleh ulama Aceh. Sejak itu, Pahang memang terdedah dengan idea dan pendekatan ilmu Islam yang dibawa oleh ulama Aceh, Kelantan, Terengganu, Patani, Banjar, Jambi, Palembang, Sulawesi, Johor-Riau dan kawasan lain.
- Penyebaran idea-idea Islam ini bersifat rentas sempadan. Apa yang diajar di Haramayn (Mekah dan Madinah) ditransmisikan ke Alam Melayu oleh ulama Melayu yang merupakan graduan Haramayn. Maknanya, sejak awal lagi, keilmuan Islam masyarakat Alam memang bersifat ortodok kerana ia mendapat pengesahan daripada ulama Haramayn yang merupakan autoriti tertinggi keilmuan umat Islam pada waktu itu.
- Tema pemikiran intelektual Islam luar yang berkembang dan dikesan pengaruhnya di Pahang agak komprehensif. Ia membabitkan tema epistemologi Islam, neo-Sufism, ilmu ketatanegaan Melayu-Islam dan fiqh tempatan. Wacana kesemua tema-tema pemikiran Islam ini telah mewarnai pemikiran Islam di Alam Melayu amnya dan Pahang khususnya. Asas ini kemudiannya telah memperkayakan ilmu Islam di Malaysia.
- Pahang Amat Berbangga Kerana Mempunyai Sejarah Kepahlawanan Melayu Menentang Penjajah British. Sejarah kepahlawanan Dato Bahaman dan pengikutnya bukan setakat boleh dijadikan daya tarikan pelancongan bersejarah di Pahang. Malah, lebih penting lagi banyak iktibar sejarah boleh diambil daripada peristiwa ini. Sejarah kepahlawanan ini bukannya semata-mata kerana faktor kebendaan, tetapi ia merupakan salah satu daripada siri perjuangan Jihad Islam orang Melayu Pahang. Kajian ini telah membuktikan fakta ini, apabila isu jihad Dato Bahaman ini mendapat sokongan material dan doa daripada Tokku Paloh di Terengganu, bahkan ia diketahui dan dibanggakan oleh ulama Melayu di Haramayn (Mekah dan Madinah) pada masa itu. Malah Hugh Clifford (1898) sendiri mengakui tentang kekuatan konsep kebangkitan/ peperangan yang dianjurkan orang Melayu Pahang yang berlandaskan kepada kesatuan niat asas ‘jihad fisabilillah’ dalam mempertahankan kesucian agama Islam serta memerangi penjajahan British. Ini dilihat sebagai satu kelebihan yang unik bagi orang Islam jika dibandingkan dengan konsep peperangan bagi mereka yang beragama Kristian di Eropah:
“And here it is that the Muhammadan has the advantage of the Christian. If the latter wars with the Powers that Be, he may be an Anarchist, or a Socialist, or a Nihilist, but he is by no means necessarily regarded as a Christian Hero. Some Christians may be found to sympathise with him, but their sympathy is in no sense connected with their religious beliefs. But with the Muhammadan it is different. If those against whom he rebels chance to belong to any other Faith, no matter what the cause of quarrel, no matter how lax the rebel’s own practice may be, his revolt against authority is at once raised to the dignity of a Sabil Allah, or Holy War against the Infidel. It becomes a reproach to any Muhammadan to side against him; all who aid him thereby serve God and His Prophet; and in this lies the real strength of a Muhammadan population.”
Jadi, projek meraikan ilmu ini bakal mengambil iktibar daripada kesemua precedent sejarah silam menggunakan bahan dan sumber sejarah yang terdapat di Pahang.
KEPENTINGAN PUSAT KAJIAN DALAM MENGUKUHKAN BIDANG PEMUZIUMAN
Ilmu permuziuman agak dinamik yang sentiasa berkembang di peringkat antarabangsa. Hal ini boleh dilihat kepada penubuhan ICOM (International Council of Museum) dengan segala aktiviti yang dijalankan. Selepas tragedi perang dunia kedua, masyarakat antarabangsa mula menyedari tentang kepentingan muzium di dalam menjaga warisan sejarah manusia. Hal ini dijelmakan melalui penubuhan UNESCO yang diikuti dengan ICOM. Sejak penubuhan ICOM pada tahun 1946, ia memainkan peranan utama di dalam bidang permuziuman antarabangsa.
Sifat kedinamikan ICOM jelas terbukti dengan beberapa perkara; Pertama, ICOM menjadi badan induk yang menaungi kesemua muzium di seluruh dunia; tidak kira sama ada di negara maju, sedang membangun dan mundur. ICOM bertindak sebagai badan induk yang memperkenalkan pelbagai program penambahbaikan muzium dengan mengambil kira aspirasi kesemua negara ahli.
Kedua, ICOM sentiasa melakukan usaha menilai semula takrif, konsep dan pendekatan baru muzium untuk semua negara ahli agar bersesuaian dengan realiti global semasa. Menurut Statut ICOM yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung ke-22 di Vienna, Austria, pada 24 Ogos 2007:
“Sebuah muzium adalah institusi tanpa keuntungan, ia kekal berkhidmat untuk masyarakat dan pembangunannya, dan ia terbuka kepada orang awam; ia memperoleh, melestarikan, menyelidik, berkomunikasi dan mempamerkan warisan manusia yang ketara dan tidak ketara di dalam persekitarannya untuk tujuan pendidikan, pembelajaran dan untuk dinikmati semua.”
Kebelakangan ini, muzium telah berubah secara radikal. Institusi ini jelas lebih menitikberatkan keperluan semasa dan tidak lagi mencerminkan apa yang ditakrifkan oleh ICOM dahulunya. Justeru, ICOM mengundang pihak yang berkenaan untuk mencadangkan takrif baru muzium yang lebih tepat. Pada sesi ke-139 di Paris, 21-22 Julai 2019, jawatankuasa tetap Definisi Muzium, Prospek dan Potensi, Lembaga Eksekutif ICOM telah mencapai keputusan untuk memilih pernyataan di bawah sebagai definisi alternatif baru untuk diundi dan dimasukkan ke dalam Statut ICOM pada Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGA) pada 7 September 2019, di Pusat Persidangan Antarabangsa Kyoto (ICC Kyoto) di Kyoto.
Hasilnya, ICOM menetapkan beberapa parameter dan definisi baru perlu;
- Jelas menyatakan penyatuan yang unik dan penting dalam muzium, terutama sekali dalam fungsinya untuk mengumpul, memelihara, mendokumentasikan, menyelidik, dan mempamerkan koleksi atau lain-lain bukti warisan budaya;
- Jelas menyatakan tujuan sebenar muzium, dan dari asas nilai apakah muzium memenuhi kehendak dan tanggungjawab kesinambungan dan kelangsungan, etika, politik, sosial dan budaya pada abad ke-21;
- Menerima hakikat krisis alam semula jadi dan betapa pentingnya membangunkan dan melaksanakan penyelesaian yang mampan;
- Mengakui dan mengiktiraf kewujudan ketaksamaan (inequality) di dalam masyarakat, juga asimetri kekuasaan dan kekayaan di seluruh dunia serta di peringkat kebangsaan, serantau dan di peringkat tempatan (ketaksamaan sosio-ekonomi memberi kesan kepada budaya dan warisan manusia secara menyeluruh);
- Mengakui dan menghormati pandangan semesta, keadaan dan tradisi yang berbeza antara muzium di seluruh dunia;
- Menyatakan komitmen muzium untuk menjadi tempat pertemuan bermakna dan sebagai platform terbuka untuk pembelajaran dan perubahan semasa;
- Menyatakan komitmen, perpaduan dan kerjasama di antara pakar permuziuman dan juga peranan yang dimainkan di dalam komuniti masing-masing; dan
- Menyatakan akauntabiliti dan ketelusan muzium memperoleh dan menggunakan sumber bahan, kewangan, sosial dan intelektual.
Bukti langsungnya ICOM telah mengemukakan dua bentuk takrif muzium iaitu:
“Muzium adalah sebuah demokrasi, sebuah ruang inklusif dan polifonik untuk dialog kritikal tentang masa lalu dan masa hadapan. Mengakui dan mengatasi konflik dan cabaran masa kini, muzium akur memegang amanah masyarakat untuk menyimpan dan memelihara artifak dan spesimen yang tidak ternilai harganya. Muzium memelihara kenangan dan sejarah yang pelbagai untuk generasi akan datang, dan menjamin hak dan akses yang sama kepada semua.”
“Muzium bukan untuk keuntungan. Muzium adalah sebuah institusi yang partisipatif dan telus. Muzium berkhidmat dan berkerjasama secara aktif dengan masyarakat dan pelbagai pihak untuk mengumpul, memelihara, menyelidik, mentafsirkan, mempamerkan, dan meningkatkan pemahaman dunia. Kesemua usaha ini bertujuan untuk menyumbang kepada pemeliharaan maruah manusia, keadilan sosial, kesamaan global dan kesejahteraan bersama.”
Sifat kedinamikan perkembangan ilmu muzium di barat amat jelas sekali. Ilmu yang kekal dalam sejarah dunia biasanya mempunyai tiga ciri utama; ia menarik perhatian, sistem logiknya boleh diterima dan mempunyai mekanisme dalaman untuk dilakukan proses penambahbaikian. Kesemua intipati ini dapat dikesan dengan munculnya konsep muzium baru, apabila sarjana muzium barat melakukan proses analisis, ulang kaji dan penambahbaikian terhadap konsep muzium klasik. Semua berpunca daripada perubahan paradigma pemikiran falsafah barat – daripada era kolonial kepada era pasca kolonial. Sarjana muzium barat sepakat bahawa andainya muzium ingin terus hidup ia perlu mengambil kira paradigma ini, kerana masyarakat dunia bukan lagi didominasi oleh kuasa barat tetapi telah berubah kepada pasca kolonialisme.
PENUTUP
Penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah – Muzium Pahang (AL-ASAR) bertujuan untuk meyediakan satu platform kepada pada ilmuan, cerdik pandai, para profesor, pengkaji dan pemimpin masyarakat untuk melakukan kajian lapangan, penulisan dan penerbitan bagi menyumbang penemuan asli, memperbaiki kajian lama dan kontemporer, mengisi lompong-lompong dalam dunia keilmuan di negara ini dan yang berkaitan. Secara langsung atau tidak langsung ia akan menjadi pemangkin kepada usaha-usaha melestarikan ilmu bagi membentuk jiwa bangsa yang kukuh dan bermutu, adab, adil dan bersatu-padu. Selain daripada itu, institusi pengajian tinggi dan para ilmuan juga merancang untuk menghidupkan kembali riwayat sejarah silam untuk kelangsungan dan kekuatan identiti masyarakat melalui perbincangan dan penceritaan semula sejarah dan ilmu tersirat dalam artifak, dokumen, dan peristiwa. Hal ini jelas, dalam konteks ilmu pemuziuman di mana pusat kajian ini menjadi ruang untuk menjalankan penyelidikan yang lebih mendalam terhadap koleksi artifak dan manuskrip yang bukan sahaja menjadi bukti utama kepada warisan sejarah dan budaya tetapi juga dapat dikaji dalam pelbagai aspek (kegunaan, peranan, bahan, proses pembuatan, peristiwa berkaitan, teknologi yang digunakan dan sebagainya) dan dikaitkan dengan pelbagai disiplin ilmu seperti bahasa dan kesusasteraan, seni dan budaya, agama dan kepercayaan, muzik, sains, senibina, arkeologi, geologi dan sebagainya. Ia penting bagi memberi makna yang mendalam tentang sesuatu artifak yang dipamerkan. Pusat kajian ini juga akan menerajui dan meneroka peranan dan cabaran baru institusi muzium sebagai pusat pengajian dan peningkatan ilmu “teaching museum” sebagaimana peranan “teaching hospitals”. Semangat dan metodologi inilah yang dimaksudkan oleh Prof Wan Mohd Nor (Islamization of Contemporary Knowledge and the Role of the University in the Context of De-Westernization and Decolonization, UTM, 2013) sebagai dynamic-stabilism, yakni mengekalkan yang lama yang bermanfaat dan menghidupkan semula dengan keperluan zaman baru dan mentransformasikannya untuk mencipta kehidupan dan tamadun yang lebih gemilang. Ia sangat berlawanan dengan semangat dan metodologi golongan konservatif yang mahu mengekalkan segala yang kuno dan lama tanpa perubahan bermakna; dan juga bertentangan dengan semangat golongan liberal melampau yang mahu merubah semua pemikiran dan institusi lama semata-mata kerana dianggap tidak lagi sesuai dengan tanggapan terkini.