QANUN PAHANG ZAMAN PEMERINTAHAN SULTAN
ABDUL GHAFFAR MAHYUDDIN SHAH (1592-1614M):
SATU ANALISIS
Oleh :
Dr. Abdul Halim El – Muhammady1
1. Pendahuluan
Kajian tentang Qanun Pahang telah banyak dilakukan sebelum ini oleh sarjana-sarjana Barat dan sarjana-sarjana tempatan. Mereka mengkaji mengenainya dalam dua aspek; pertama kajian tentang teks manuskrip Qanun itu sendiri dan mengeditnya sebagaimana yang dilakukan oleh J.E Cempe dan R.O Winstadt yang diterbitkan dalam JAMBRAS pada tahun 1948. Teks ini berdasarkan dua buah manuskrip Qanun Pahang kumpulan Maxwell yang tersimpan di Royal Asiatic Society, London. Satu lagi kajian teks Qanun Pahang yang diusahakan oleh Yaakub Isa, daripada teks yang disimpan di Muzium Negeri Pahang. Beliau telah berusaha mengeditnya dan teks yang telah dieditkan itu diterbitkan oleh Lembaga Muzium Negeri Pahang pada tahun 2003.
Satu aspek lagi kajian yang dilakukan terhadap Qanun Pahang oleh serjana-serjana dari luar dan tempatan ialah tentang kandungan Qanun Pahang itu sendiri. Ia dilihat dari sudut perundangan dan pengaruh yang mendasari perundangan itu samada ia dipengaruhi oleh adat atau Islam dan lain-lain. Kajian itu dilakukan samada terhad kepada teks Qanaun Pahang sahaja atau dilakukan secara perbandingan antara Qanun Pahang dengan teks Qanun lain seperti perbandingan dengan teks Qanun Melaka dan Kedah contohnya.
Manakala kajian yang akan dikemukakan oleh penulis disini meliputi dua aspek, pertama analisis Kandungan Teks Qanun Pahang dan latar belakangnya. Perbincangannya mengenai kajian Qanun Pahang yang terdahulu, kedudukan masyarakat Pahang sebelum ditakluki Melaka, hubungan Institusi Raja dengan Qanun ,Sultan Abdul Ghaffar dan perhatiannya terhadap perundangan, penggubalan dan pengiktirafan Qanun Pahang, reformasi Qanun Pahang, sumber Qanun Pahang, elemen-elemen yang mempengaruhi Qanun Pahang, pelaksanaan Qanun Pahang, dan kesimpulan. Manakala aspek kedua kajian ini menumpukan kepada penyelengaraan teks Qanun itu sendiri yang terdiri dari dua teks yang terdapat di Royal Asiatic Society, London sebagai satu kumpulan dan teks yang terdapat di perpustakaan Negara dan muzium Pahang sebagai satu kumpulan lagi.
Kajian ini dilakukan berasaskan 4 buah manuskrip teks Qanun Pahang. Sebagaimana disebut di atas Manuskrip-manuskrip itu 2 daripadany berada di Royal Asiatic Society, London daripada kumpulan MS Maxwell, MS A(17), MS B (20). Manakala dua manuskrip lagi berada di Malaysia iaitu Hukum Qanun Pahang yang disimpan di Muzium Negeri Pahang, Pekan,dinamakan MS D oleh pengeditnya Ab.Latif Isa dan satu lagi MS yang disimpan di Perpustakaan Negara Malaysia, mengikut katalog perpustakaan tajuknya ialah “Kitab Istilah Bagi Raja dan Wazir Bagi Negeri Pahang Darussalam” no. 2583. MS yang akhir ini baru dijumpai oleh penulis dan dinamakan MS E. MS ini teksnya tidak lengkap kerana beberapa peruntukan undang-undang tidak dapat dikesan terutama dibahagian akhir dan kandungannya adalah hampir sama dengan teks Qanun Pahang yang disimpan di Muzium Negeri Pahang.
11. Kesimpulan
Qanun ialah satu istilah perundangan yang digunakan untuk kumpulan undang-undang yang dilaksanakan oleh pemerintah. Ia mula digunakan oleh kerajaan Uthmaniyyah Turki dipertengahan abad ke 15, dan diperluaskan penggunaannya dikawasan jajahan Turki. Istilah ini pada awalnya digunakan untuk maksud undang-undang sekular, kemudian ia digunakan untuk maksud undang-undang yang bercampur antara undang-undang sekular dengan undang-undang Islam yang kedudukan undang-undang Islamnya lebih dominan, penggunaan ini diperkenalkan oleh mufti kerajaan Uthmaniyyah Ebu’u S’ud.
Apabila Raja Melaka menerima Islam, maka undang-undang yang diperkenalkan buat pertama kalinya di Melaka pada pertengahan abad ke 15 ialah Qanun. Qanun Melaka kemudiannya dilaksanakan di negeri-negeri di bawah takluknya, antaranya negeri Pahang. Tetapi Qanun Pahang yang dikuatkuasakan di Pahang pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Ghaffar Mahyuddin Shah telah banyak mengalami perubahan disebabkan undang-undang Islam telah banyak mempengaruhi Qanun Pahang yang asalnya. Elemen-elemen Islam itu meliputi bidang pemerintahan dan pentadbiran, bidang undang-undang jenayah, Hudud, Qisas, perdagangan, acara dan keterangan, percukaian serta adab Hakim.
Maka istilah Qanun yang dimaksudkan di negeri-negeri Melayu ialah kumpulan undang-undang yang berteraskan Islam, adat dan perintah Sultan, tetapi undang-undang Islam yang dominan dalam Qanun tersebut, ialah Qanun Pahang.
Sultan Abdul Ghaffar adalah Sultan Pahang yang membuat reformasi yang besar terhadap Qanun Pahang dengan membawa elemen-elemen Islam secara menyeluruh dalam Qanun tersebut, yang meletakkan kedudukan Qanun Pahang setara dengan kedudukan Qanun yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Uthmaniyyah di Turki. Dan ianya dapat menjamin keamanan dan keselamatan dalam negeri melalui penguatkuasaannya.
Institusi Raja merupakan satu institusi yang penting dalam memperkenalkan dan melaksanakan Qanun di negeri-negeri Melayu sejak pertengahan Abad ke 15, hingga masa pertengahan abad ke-18. Ini bermakna kehidupan orang-orang Melayu dinegeri, semasa negeri Melayu menghayati undang-undang Islam selama 300 tahun. Maka adab sejarah undang-undang yang panjang ini sepatutnya boleh menjadi asas perundangan.
1 Kertas kerja ini dibentangkan di Kolokium Islam Pahang ‘Meraikan Ilmu’ pada 17-19 Mac 2014 oleh Dr. Abdul Halim el-Muhammady, Pengerusi Bairuni Research. www.bairuni.com.