ABSTRAK
ETIKA MUZIUM DALAM DISIPLIN MUZIUM SEMASA : SUATU SOROTAN
Rahimin Affandi Abdul Rahim
Siti Maimunah Binti Kahal
Awang Azman Awang Pawi
Perbadanan Muzium Negeri Pahang
Emel : farid.muziumpahang@gmail.com
Muzium merupakan institusi penting untuk konteks dunia moden yang berfungsi menjaga, merawat, menyelidik, mendidik dan mempamerkan warisan sejarah milik sesuatu masyarakat. ICOM sebagai organisasi yang bertanggungjawab menjaga muzium seluruh dunia telah menetapkan etika dan statut muzium untuk kegunaan muzium seluruh dunia. Hal ini dibuat bagi memastikan visi, falsafah, perjalanan dan modus operandi sesuatu muzium itu berjalan seragam menepati falsafah ICOM. Kajian ini akan meneliti secara kritikal setiap butiran etika muzium yang ditetapkan oleh ICOM. Untuk itu, semua data-data kajian akan bergantung sepenuhnya kepada data kepustakaan. Ia kemudiannya akan dianalisis secara kritikal menggunakan world-view Islam. Di akhir kajian, kita bakal memperincikan setiap etika muzium yang ada kaitan dengan disiplin muzium moden, termasuk perkembangan falsafah muzium yang terkini. Antaranya adalah muzium dan dialog peradaban serta kesedaran muzium baru.
Kata kunci: Muzium, ICOM, etika muzium, kesedaran muzium baru, dialog peradaban.
ETIKA MUZIUM DALAM DISIPLIN MUZIUM SEMASA : SUATU SOROTAN
Ahmad Farid Abd Jalal,
Rahimin Affandi Abdul Rahim
Siti Maimunah Binti Kahal
Awang Azman Awang Pawi
Perbadanan Muzium Negeri Pahang
Emel : farid.muziumpahang@gmail.com
- Pengenalan
Disiplin muzium adalah ilmu yang paling dinamik untuk konteks zaman moden. Sifat kedinamikan ini terserlah apabila ia mempunyai empat perkara sekaligus. Pertama, binaan dan kerangka epistemologinya yang jelas dan difahami oleh kalangan ilmuannya. Kedua, ia berjaya menarik minat ahli masyarakat kerana formula penyelesaian masalahnya bertepatan dengan logik yang menjadikannya tetap relevan. Ketiga, ia sentiasa dikaji semula (review) untuk tujuan penambahbaikan yang berterusan di peringkat institusi pengajian tinggi. Dalam soal ini, hasil usaha review – pembaikan dikumpulkan dalam koleksi khusus bagi rujukan penyelidik apabila diperlukan.1 Keempat, ia mempunyai badan induk khusus yang menaungi kesemua muzium di seluruh dunia; tidak kira sama ada di negara maju, sedang membangun dan mundur. Sejak ditubuhkan pada tahun 1946, ICOM telah memainkan peranan utama di dalam bidang permuziuman antarabangsa. Ia terlibat memperkenalkan pelbagai program penambahbaikan muzium yang sepatutnya. Ia mengambil kira aspirasi kesemua negara ahli.2
- Peranan Etika Muzium Dalam Pengukuhan Institusi Muzium Di Dalam Masyarakat
ICOM telah menyediakan Kod Etika Muzium yang sekaligus dijadikan Undang-Undang (Statut) ICOM untuk kegunaan muzium seluruh dunia. Kod-kod ini melambangkan prinsip-prinsip yang diterima pakai oleh komuniti muzium antarabangsa. Kod ICOM telah menetapkan piawaian minimun kepada muzium-muzium dan ia melambangkan garis panduan profesional. Di sesetengah negara, piawaian minimun ini telah ditetapkan mengikut undang-undang kerajaan tersendiri. Ia juga mengikut piawaian profesional yang bertindak sebagai sistem ‘akreditasi’ atau sistem penilaian yang setaraf.
Bagi negara ataupun muzium yang tidak mempunyai piawaian yang spesifik perlu merujuk kepada Sekretriat ICOM, Jawatankuasa ICOM atau pihak yang berkaitan. Organisasi yang berkaitan dengan muzium juga dinasihatkan untuk mengikut piawaian ini dalam mencapai piawaian asas bagi sebuah muzium dan mengembangkannya. Kod ini telah diterbitkan dalam tiga bahasa utama; Bahasa Inggeris, Perancis dan Sepanyol namun ICOM mengalu-alukan penerbitan dalam bahasa-bahasa lain dan garis panduan terjemahan boleh didapati dari Sekretariat Am ICOM.
Terdapat serangkaian etika yang telah ditetapkan untuk kegunaan muzium seluruh dunia. Daripada kesemua etika ini kita dapat menyelami hasrat, fungsi, peranan dan tatacara (procedure) yang dikehendaki oleh ICOM. Daripada garis panduan ini, kita dapat mengenalpasti isu sejarah, pendekatan, falsafah dan cabaran yang dihadapi oleh muzium.
- Fungsi Asas Muzium Untuk Memelihara, Menjelas Dan Mempromosi Alam Semulajadi, Budaya Serta Perkembangan Manusia
Prinsip ini antara lainnya mengajar kepentingan usaha menghargai kepentingan sejarah dalam kehidupan manusia. Ia diikuti dengan usaha merakam dan mendokumentasikan warisan ketara (tangible) dan tak ketara (intangible) milik bersama sesuatu bangsa. Selanjutnya, ia harus diikuti dengan usaha mempelajari warisan yang terhasil daripada prosespendokumentasian ilmu.
Muzium boleh dianggap sebagai sebuah institusi terpenting dalam dunia moden. Semua negara di dunia didapati memiliki muzium tersendiri yang berperanan mengumpul, menjaga, merawat, menyelidik dan mempamerkan warisan ketara (tangible) dan tak ketara (intangible) sejarah sesuatu bangsa. Ia sangat berguna untuk tujuan mengilmu dan mendidik anggota masyarakat tentang peri pentingnya warisan sejarah sesuatu bangsa.3
Dalam soal ini, terdapat dua kepentingan muzium:
- Muzium Sebagai Alat Mempromosikan Kepelbagaian Warisan Ketara (Tangible) Dan Tak Ketara (Intangible) Milik Manusia
Ia secara langsung menjadi asas kepada dialog peradaban yang amat diperlukan manusia. 4 Memang diakui, pendekatan dialog peradaban hanya wujud di tahun-tahun 1990an. Kewujudannya di peringkat global menjadi semakin penting setelah terjadinya peristiwa penting seperti teori Clash of Civilisation yang diutarakan oleh Samuel Huntington pada tahun 1996 yang ada hubungan dengan berakhimya Perang Dingin di antara US dan Russia. Pada masa itu, teori tajaan Samuel Huntington menegaskan bahawa Amerika akan berhadapan dengan ancaman musuh yang baru yang berpunca dari tamadun-tamadun seperti tamadun Islam dan China (the green and yellow peril). Hal ini dipanaskan lagi dengan tercetusnya peristiwa 11 September 2001.
Ini bermakna, secara fitrah alami, masyarakat dunia menyedari bahawa setiap tamadun manusa memiliki elemen kekuatan dan kelemahan yang perlu dipelajari oleh manusia. Dalam proses ini, memang berlakunya interaksi antara pelbagai tamadun dunia. Contohnya, mengikut Osman Bakar, globalisasi bukanlah fenomena baru, sebaliknya ia pernah berlaku dalam sejarah manusia sejagat. Globalisasi pertama timbul dengan perkembangan perdagangan dan penyebaran agama Islam di Alam Melayu daripada Tanah Arab dan kawasan Indo-Pakistan. Impak positifnya boleh dilihat apabila masyarakat Melayu menerima Islam dan membangunkan tamadun material dan intelektual yang cukup tinggi. Globalisasi gelombang kedua berlaku dengan kedatangan pelbagai kuasa penjajah Barat yang bersifat menindas. Secara jelas, globalisasi kedua dimulai dengan penjajahan British di Tanah Melayu.5 Berbanding dengan tahap globalisasi pertama, tahap globalisasi kedua telah membawa beberapa elemen buruk, merangkumi:6
- Pihak Barat membahagikan dunia kepada dunia dan kawasan tanah jajahan.
- Wujudnya perdagangan hamba, senjata api dan candu.
- Rosaknya demografi penduduk peribumi dengan datangnya bangsa imigran asing.
- Lahirnya ilmu kolonial-orientalis yang menyebarkan idea kelemahan bangsa dijajah yang kekal sehingga pada masa sekarang. Ia telah meninggalkan kesan epistemologi negatif yang kekal sehingga selepas Malaysia merdeka.
Semua masyarakat dunia, termasuklah masyarakat Eropah yang begitu taksub dengan keunggulan bangsa sendiri7 – menyedari realiti kepelbagaian iklim, kesuburan biodiversiti tumbuhan dan sumber galian yang dimiliki di rantau dunia yang berbeza. Mereka tahu bahawa rantau Alam Melayu adalah pusat biodiversiti tumbuhan yang hebat. Ia mempunyai komposisi kepelbagaian tumbuhan per unit kawasan antara yang paling padat di dunia. Kedudukannya dalam kawasan tropika mempunyai ramuan iklim yang baik iaitu taburan hujan dan panas yang hampir sekata setiap tahun. Hal ini menyumbang kepada pembentukan tanah-tanih yang subur dan sesuai untuk menampung pelbagai jenis tumbuhan. Tumbuhan yang pelbagai ini menarik minat perkembangan fauna yang tinggi. Dilaporkan tidak kurang dari 60,000spesies tumbuhan, kira-kira 25% spesies tumbuhan di dunia berbanding Eropah (5,000 spesies tumbuhan), Amerika utara (18,000 spesies tumbuhan) dan Afrika (30,000 spesies tumbuhan). Ia meliputi tumbuhan berbunga, palma, rumpur, rumpair, lumut, pokok herba, pemanjat di darat dan kawasan paya air. Masyarakat Melayu memang telah lama berinteraksi secara harmoni dengan semua tumbuhan di sekitar mereka.8
Atas dasar itu rantau Alam Melayu memang menjadi tumpuan bangsa Eropah, India, China dan Arab sepanjang sejarah. Ini didokong dengan realiti Alam Melayu yang memiliki sumber galian dan rempah yang sangat diperlukan dunia pada masa itu.
Untuk itu, pihak penjajah British telah membangunkan ilmu sains kolonial yang mencatat keistimewaan yang dimiliki oleh sumber alam Tanah Melayu. Bersesuaian dengan kepentingan ekonomi British di Tanah Melayu, ilmu sains kolonial ini dibahagikan kepada dua bidang utama; perubatan dan botani. Kedua bidang ini turut menekankan bahawa perlunya diwujudkan agensi penyelidikan yang khusus:9
- Perubatan – apa yang dihasilkan oleh pusat penyelidikan perubatan (The Institute of Medical Research) yang diasaskan pada tahun 1900. Ia membabitkan kajian tentang penyakit tropika dan kaedah rawatan yang sepatutnya.
- Botani – apa yang dihasilkan melalui The Botanical Garden dan The Rubber Research Institute. Ia membabitkan kajian tentang jenis flora dan fauna, tanaman yang diperkenalkan dan bagaimana teknologi untuk tanaman yang lebih baik.10
Dalam proses ini, pihak British memang mendapat bantuan pakar masyarakat Melayu sendiri. Contohnya, Gimlett dan Burkill (1930) telah merujuk manuskrip Inche Ismail apabila menerangkan tentang Etnobotani; ubatan dan penyakit tropika yang ada di Alam Melayu. Kedua sarjana ini telah menerbitkan manuskrip ini dalam Bahasa Inggeris berjudul; The Medicinal Book Of Malayan Medicine. Karya ini mengandungi 543 ramuan perubatan tradisional, 230 jenis penyakit, 1,262 tumbuhan dan 376 species tumbuhan ubatan. Daripada 543 ramuan perubatan tradisional, 74 merawat penyakit demam (typoid dan malaria), 44 penyakit perut, 44 penyakit kulit, 39 rawatan wanita, 31 rawatan pendarahan, 22 rawatan sakit badan, 20 rawatan mata, 20 rawatan rheumatism, 19 rawatan sembelit, 15 rawatan bisul, 13 rawatan gonorrhoea, 12 rawatan tenaga batin, 12 rawatan cacing dalam perut, 10 rawatan tulang, 9 rawatan penyakit hati, 8 rawatan leucorrhoea, 7 rawatan dada, 7 rawatan dipteria, 7 rawatan pitam, 6 rawatan haemmorhoids, 4 rawatan leprosy, orthitis, kegilaan dan muntah-muntah.
Sarjana British telah memberikan tafsiran ekonomi kepada setiap tumbuhan yang ditemui. Beberapa orang ahli Botani British telah dihantar ke Tanah Melayu, seperti Isaac Henry Burkhill (Penolong Kurator Herbarium Royal Botanical Garden London, 1897-1899), H.N. Ridley (Pengarah Taman Botani Singapura, 1888-1911) dan Richard Eric Holttum (Pengarah Taman Botani Singapura, 1926-1946). Hasilnya, mereka telah menghasilkan beberapa manuskriputama seperti The Malay Material Medica (Ridley, 1894), Tree Flora Of Malaya (Ridley, 1922), The Medical Book Of Malayan Medicine (Burkhill, 1930), Malay Village Medicine (Burkhill, 1930), A Dictionary Of Economic Products Of Malay Peninsula (Burkhill, 1935), Wayside Tree Of Malaya (Corners, 1952) dan Plant Life In Malaya (Holttum, 1954)11
- Kepentingan Warisan Sejarah Nyata Dan Tidak Nyata Yang Menjadi Asas Jati Diri Bagi Sesuatu Masyarakat
Setiap masyarakat akan berbangga dengan warisan tamadun yang dimiliki oleh tamadun mereka. Ia terdiri daripada warisan nyata dan tidak nyata yang menjadi asas kebanggaan yang bakal dipertahankan. Asas ini kemudiannya menjadi sumber jati diri, kekuatan dan pemahaman yang perlu diingati seandainya sesuatu masalah terjadi.
Mengikut Mahmud Syahrur, setiap manusia dalam menangani kehidupannya terpaksa bergantung kepada sejarah yang membabitkan tiga dimensi (telah lalu, sekarang dan akan datang). Ketiga-tiga dimensi ini perlu ditangani secara seimbang. Asas telah lalu (sejarah) tidak boleh ditinggalkan kerana ia merupakan pedoman berguna bagi kita menghadapi zaman sekarang dan akan datang. Warisan sejarah ini menjadi akar kekuatan diri setiap manusia, agar tidak melupakan akar umbi sejarahnya kerana tanpa akar umbi sejarah manusia akan hilang identitinya (seperti kiambang di atas air yang tiada bumi untuk ia menyalurkan akar yang menyebabkan ia tidak tahan lama).12
Jadi, kewujudan sesuatu tamadun perlu bergantung kepada bukti nyata yang dimiliki. Mengikut aksioma orientalism,13 pembuktian tentang kewujudan tamadun manusia menetapkan bahawa “wujud ataupun tidak sesuatu tamadun material dan intelektual bagi sesuatu masyarakat atau kerajaan bergantung sepenuhnya kepada adanya atau ditemui artifak yang mengandungi maklumat tentang tamadun tersebut. Andainya tidak ditemui artifak bersejarah ini maka mereka akan menganggap bahawa memang tidak wujud tamadun yang didakwa ini.”
Atas dasar itu, untuk konteks Malaysia, bukti-bukti artifak dan monumen yang menjadi bukti kewujudan tamadun di Tanah Melayu perlu ditonjolkan. Lebih penting lagi, ia perlu dikekalkan dan dimasukkan sebagai bahan utama untuk pendidikan sejarah di Malaysia. Memang terbukti pedagogi pendidikan sejarah berasaskan galeri di muzium sangat berkesan untuk konteks zaman moden.14
Permasalahan terbesar yang dihadapi oleh umat Islam adalah tiadanya usaha untuk menjaga atau konservasi terhadap dokumen dan bukti sejarah, walaupun hal ini sangat ditekankan kepentingannya dalam Quran sendiri. Contoh terbaik boleh dilihat kepada realiti kegagalan umat Islam di Tanah Melayu menjaga pelbagai manuskrip Melayu Islam yang dimiliki. Ia menyebabkan sebahagian besar warisan ketara ini musnah. Lebih memalukan lagi, kebanyakan manuskrip ini wujud dan terjaga kerana usaha pihak kolonial British.15 Mereka telah mengumpul dan melakukan preservasi manuskrip ini di British Library yang dapat dirujuk oleh penyelidik Malaysia di zaman selepas merdeka.16
Kita dapat memahami kepentingan bukti kewujudan tamadun ini dengan meneliti tindakan Daesh yang merosakkan monumen dan artifak sejarah di kawasan yang dikuasai oleh mereka di Syria dan Iraq. Bagi Daesh, bukti monumen dan artifak sejarah yang menjadi identiti milik golongan bukan Islam perlu dihapuskan. Tindakan merakam usaha pemusnahan artifak dan monumen sejarah telah dibuat dengan cukup sistematik dan disebarkan ke seluruh dunia melalui media sosial.17 Ia secara terang-terangan menunjukkan Daesh sengaja mencabar dan melukakan hati musuhnya dengan merosakkan tinggalan sejarah yang menjadi bukti dan identiti sejarah yang dibanggakan.18
Mereka bertindak merosakkan semua lambang sejarah sebelum Daesh yang bakal diwujudkan sejarah Islam baru di bawah Daesh yang lebih bernuansa semangat Islam sejati. Hal ini dijelaskan dalam majalah Dabiq;
“The kuffar (unbeliever) had unearthed these statues and ruins in recent generations and attempted to portray them as part of a cultural heritage and identity that the Muslims of Iraq should embrace and be proud of. Yet this opposes the guidance of Allah and His Messenger and only serves a nationalist agenda.” (Dabiq 2015a, p. 22).
Selain itu juga mereka memusuhi monumen dan artifak sejarah milik penganut Islam sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka. Daesh telah merosakkan pusat ibadat, muzium, manuscript dan arkid lama yang memiliki intipati ajaran yang bertentangan dengan daesh.19 Semua bukti sejarah ini yang bakal menjadi asas jati diri dan butiran ajaran lawan kepada Daesh akan dijadikan sebagai mangsa utama.
- Muzium Dan Isu Perolehan Serta Penjagaan Koleksi
Muzium hanya wujud dengan adanya koleksi yang dimilikinya. Tanpa koleksi ini, ia hanya menjadi gedungsimpanan barang antik yang akan pupus ditelan zaman. Mengikut Eliot20 dan Isherwood21, muzium merupakan simbol ketamadunan dan kemunculan budaya ilmu yang dimiliki oleh masyarakat barat. Ia hanya wujud dengan usaha budaya ilmu membabitkan pencarian ilmu yang berterusan. Ia dalam bentuk penjelajahan bangsa Eropah ke kawasan luar dan pengumpulan artifak dan spesimen alam botani, zoologi, mineral dan sosio-budaya masyarakat. Atas dasar itu, koleksi yang dimiliki oleh muzium barat merupakan bukti sahih yang dapat dipertontonkan kepada masyarakat umum. Terdapat lebih daripada 30,000 buah muzium di mana 13,500 terdapat di Eropah sementara di Britain mempunyai lebih kurang 5,000 buah. Jumlah koleksi dan spesimen yang dikumpul di seluruh dunia adalah lebih daripada 100 juta dan dipercayai Natural History Museum London merupakan muzium yang mempunyai koleksi terbesar iaitu sebanyak 67 juta spesimen22. Ia secara langsung membuktikan bahawa muzium merupakan pusat sumber atau gedung ilmu untuk mempelajari aspek-aspek warisan budaya dan tamadun yang perlu disimpan.
Etika ICOM menetapkan bahawa:
- Muzium tidak boleh memperoleh/ menerima objek dan spesimen hasil dari kerja lapangan yang haram/ tidak sah atau objek yang menyebabkan kemusnahan monumen, tapak arkeologi atau geologi, mahupun spesies dan habitat semulajadi. Dalam kata lain, perolehan tidak boleh berlaku sekiranya bahan/ spesimen gagal dikenalpasti siapa pemilik atau pemilik tapak/ tanah atau kerajaan/ pihak berwajib.
- Tinggalan mayat dan bahan-bahan suci (agama) hanya boleh diterima jika ia disimpan dengan selamat dan dengan penuh hormat. Ini selaras dengan piawaian profesional serta pentingnya kepercayaan, etnik dan agama masyarakat dari mana objek/ spesimen diperoleh.
Untuk proses penjagaan koleksi, ia menetapkan bahawa;
- Muzium perlu menubuhkan dan mengikut polisi untuk memastikan koleksi (tetap dan sementara) dan yang disimpan direkod dengan sempurna, boleh digunakan pada masa sekarang dan boleh digunakan untuk jangka masa yang akan datang dengan selamat dan praktikal, seiring dengan perkembangan ilmu dan sumber.
- Tanggungjawab profesional termasuk penjagaan koleksi seharusnya dipertanggungjawabkan kepada pihak yang mempunyai ilmu dan kemahiran atau seseorang yang diperhatikan.
- Koleksi muzium perlu didokumentasi mengikut piawaian profesional. Dokumentasi perlu termasuk pengenalan lengkap dan deskripsi setiap koleksi, syarat, wilayah asal, penjagaan dan di mana ia ditempatkan. Data-data perlu disimpan di tempat yang selamat dan mempunyai sistem pengesanan yang baik supaya dapat dikesan mudah oleh pegawai atau yang berkaitan. 23
- Muzium Dan Isu Penyelidikan Dan Pendidikan
Ia menetapkan bahawa:
- Muzium yang melakukan penyelidikan mengambil koleksi lapangan perlu mencipta dasar/ polisi yang seiring dengan piawaian akademik serta boleh diguna pakai di peringkat nasional dan antarabangsa (perundangan). Kerja lapangan perlu mengambil kira pendapat/ sensitiviti masyarakat setempat, sumber mereka dan amalan budaya di samping mencari warisan budaya serta semulajadi.
- Penyelidikan yang dijalankan oleh pegawai muzium perlu berkait dengan misi dan objektif muzium serta mengikut perundangan, etika dan akademik.
- Penyelidikan terhadap mayat dan bahan suci perlu dibuat dengan piawaian yang profesional dan mengambil kira kepercayaan, etnik dan agama komuniti dari mana bahan itu diperolehi.
- Muzium-muzium mempunyai satu tanggungjawab untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan rakan sekerja, ahli akademik dan pelajar dalam bidang yang berkaitan. Mereka perlu menghormati dan mengiktiraf pihak yang telah mengajar dan mengembangkan ilmu tersebut kepada awam.
- Pegawai muzium perlu mengiktiraf dan menyokong keperluan kerjasama di antara institusi yang berkongsi minat dan koleksi yang sama. Keutamaan kepada institut pendidikan tinggi serta badan-badan yang boleh menyumbang kepada koleksi.
Dalam memajukan pendidikan, etika ICOM menetapkan bahawa:
- Muzium mempunyai tugasan penting dalam memperkembang fungsi pendidikan mereka dan menarik lebih ramai pengunjung dari komuniti setempat. Hubungan baik dengan komuniti dan mempromosikan warisan merupakan salah satu tugas penting muzium dalam bidang pendidikan.
- Untuk setiap galeri pameran sama ada berbentuk fizikal atau elektronik perlu seiring dengan misi, dasar/ polisi dan tujuan sesebuah muzium. Muzium tidak seharusnya menepikan kualiti atau penjagaan dan konservasi mana-mana koleksi.
- Untuk proses interpretasi sesuatu pameran, muzium seharusnya memastikan maklumat yang diletakkan pada panel pameran mempunyai penyelidikan yang baik, tepat serta mengambil kira juga agama dan kepercayaan sesetengah kaum/ kumpulan.
- Muzium dan Kerjasama Dengan Masyarakat
Dalam soal ini, muzium di seluruh dunia dikehendaki mengaplikasikan beberapa prinsip kesedaran muzium baru.Konsep ini terangkum dalam beberapa perkara; pertama, muzium perlu bersifat terbuka dengan masyarakat – sama ada terlibat dalam proses mendidik atau menerima pakai maklum balas atau kritikan daripada masyarakat. Ia lebih bercirikan mesra masyarakat (community-oriented) dan para pengunjung bebas mengkaji dan mengkritik apa yang dibentangkan oleh kurator. Ia berkhidmat untuk memajukan pemikiran masyarakat. Ini termasuk usaha menjadikan muzium sebagai medium untuk tujuan pendidikan dan nation building. 24
Justeru itu, etika ICOM menetapkan beberapa perkara:
- Koleksi muzium melambangkan warisan budaya dan semulajadi yang diadaptasi dari komuniti setempat. Hal ini boleh jadi termasuk dengan identiti nasional, negeri/ kawasan, tempatan, etnik, agama atau politik. Oleh itu, adalah penting untuk dasar-dasar muzium berkait rapat dengan pewatakan ini.
- Muzium perlu mempromosi perkongsian ilmu, dokumentasi/ data dan koleksi dengan muzium-muzium dan organisasi budaya di dalam negara. Kebarangkalian untuk melebarkan kerjasama dengan muzium-muzium yang kehilangan signifikan warisan mereka perlu lebih dititik beratkan.
- Muzium Dan Kesedaran Pasca Kolonial
Keunikan institusi muzium terserlah apabila ia sentiasa terdedah dengan perkembangan falsafah baru yang muncul dalam dunia intelektual. Dalam soal pengaruh pasca kolonial, muzium telah terpengaruh dengan empat perkara iaitu: 1) pemakaian pendekatan yang kritikal terhadap kolonialism barat; 2) pendekatan yang melihat dunia daripada kacamata golongan yang tertindas (subaltern); 3) pemikiran yang mengangkat ketinggian tamadun tempatan mengatasi tamadun barat, dan 4) pendekatan pemikiran yang bersifat kritikal,25 selektif, 26 analitikal dan rasional.
Merujuk kepada isu pasca kolonial di atas, etika ICOM antara lainnya menetapkan prinsip pemulangan harta warisan dan bahan budaya dari negara dijajah. Ia menetapkan bahawa:
- Muzium harus sentiasa bersedia untuk melakukan perbincangan untuk pemulangan harta warisan kepada sesebuah negara atau masyarakat asal objek tersebut. Ia harus dilaksanakan secara tidak berat sebelah berdasarkan prinsip saintifik/ ilmiah, profesional dan kemanusiaan serta perundangan tempatan, nasional dan antarabangsa yang berlaku, sebagai pilihan untuk bertindak di peringkat pemerintahan atau politik.
- Apabila sesebuah negara atau masyarakat menginginkan pemuliharaan objek/ spesimen yang telah terbukti melanggar undang-undang nasional atau antarabangsa – dan ia terbukti adalah hak milik negara/ masyarakat itu – muzium seharusnya bertanggungjawab serta bekerjasama dalam pemulangan objek tersebut.
- Muzium seharusnya mengelak dari membeli/ menerima bahan-bahan budaya daripada negara/ kawasan yang dijajah serta perlu menghormati kesemua undang-undang serta konvensyen yang membolehkan import, eksport dan pemindahan hak milik bahan warisan budaya serta semulajadi.
- Apabila aktiviti muzium melibatkan komuniti kontemporari dan/ atau warisan mereka, perolehan perlu dibuat berdasarkan maklumat dan persetujuan bersama tanpa eksploitasi pemilik atau pemberi maklumat. Kehendak masyarakat yang terlibat juga perlu diambil kira.
- Penggunaan koleksi dari komuniti kontemporari memerlukan penghormatan kepada maruah serta tradisi dan warisan yang digunakan. Koleksi yang ada perlu mempromosi kebaikan serta perkembangan sosial, tolak ansur dan hormat dengan mengadaptasi ekpsresi yang berbilang budaya, bahasa serta sosial.
- Untuk pameran bahan sensitif seperti mayat dan bahan suci, ia perlu disusun dengan piawaian profesional denganmengambil kira kepercayaan, etnik serta minat tempat asal objek tersebut. Ia perlu dipersembahkan dengan cara yang baik dan terhormat serta bermaruah.
Joseph Maria telah melakukan kajian terhadap artifak masyarakat tanah jajahan yang tersimpan di muzium di barat. Ia mendedahkan daripada rekod sejarah yang dicatat oleh penjajah Eropah sendiri tentang beberapa fakta yang agak menggemparkan. Antaranya, artifak berharga milik masyarakat peribumi di Afrika, Timur Tengah, India dan Asia kebanyakannya dirampas oleh penjajah Eropah yang dianggap sebagai harta rampasan perang. Mereka memang mengetahui artifak ini yang berupa patung objek keagamaan, perhiasan emas, tembaga, gading, peralatan senjata, manuskrip ilmu dan sebagainya memang mempunyai pasaran yang tinggi di Eropah. Sebagai contoh, Raffles dicatatkan telah merompak barangan Istana Keraton di Jogjakarta.
Fenomena mengumpulkan bahan artifak eksotik dalam koleksi muzium memang menjadi kegilaan di Eropah pada abad ke-18. Peminat barangan eksotik ini sanggup membeli dan menaja proses mendapatkannya di tanah jajahan. Dilaporkan timbul rungutan pihak muzium pusat di Eropah tentang ketiadaan ruang yang mencukupi untuk menyimpan jumlah artifak yang terlalu banyak.27
Bahkan ada di antara artifak ini yang telah rosak teruk apabila kurang mendapat penjagaan yang baik. Contohnya, apa berlaku kepada Batu Pucangan dan Batu Catatan Raja Sailendra daripada Indonesia. Keduanya telah rosak teruk akibat tidak dijaga dengan oleh pegawai British. Hal ini dicatatkan oleh Joseph Maria:28
“In 1812 Colonel Colin Mackenzie of the British-Indian forces in Java collected the Pucangan Stone. It was shipped to the colonial administration in India and is currently in a storeroom of the Indian Museum in Kolkata. Through the years, the clarity of the inscription on ‘the sole known documentary source’ about the reign of King Airlangga (1019 – 1049), has been damaged. In the same period, Mackenzie collected the 10th century East-Javanese Sangguran stone, also with a rare inscription. Lieutenant-Governor T.S. Raffles donated it to the Governor-General of India, Lord Minto. Upon his departure, Minto took ‘the last known recorded document issued by the Sailendra rulers of ancient Mataram in Central Java (8th – 10th century)’ to his estate in Scotland, where heavy winds and rain erased the inscription of what has become now a ‘garden ornament’. The Minto family wants a high sum as compensation, which Indonesia is unwilling to pay.”
Memang diakui, ada artifak atau manuskrip yang dihadiahkan oleh pemerintah Alam Melayu kepada kuasa penjajah British dan Belanda. Ia sebagai tanda hubungan diplomatik dibina antara kedua-dua pihak. Namun begitu, sejarah mencatatkan sebahagian besar artifak ini seperti mana tercatat di muzium barat adalah sebagai Token of War. Ada sesetengahnya dijadikan sebagai bahan historiografi milik masyarakat tanah jajahan. Apa yang malang, kesemua bahan historiografi ini apabila dilakukan kajian oleh sarjana kolonial sering didedahkan sebagai tidak bermutu dan penuh dengan elemen mitos. Bahkan ia dijadikan alat utama untuk merendahkan masyarakat terjajah.
Keterbukaan kurator muzium barat menerima falsafah pasca kolonial yang mengkritik paparan kolonial tentang masyarakat tanah jajahan. Sarjana-kurator muzium ini mengakui pihak kolonial British dan Belanda terlibat dalam bentuk perdagangan yang mementingkan keuntungan melebihi perkara lain, sehingga sanggup menindas dan menjejaskan kemanusiaan itu sendiri.29 Mereka terlibat dalam perdagangan senjata api, candu dan hamba.30 Dalam banyak hal, mereka memaksa pihak pemerintah tempatan di Tanah Melayu dan Indonesia memberikan hak monopoli hanya kepada mereka.
Di bawah pengaruh pasca kolonial juga pihak muzium dituntut untuk lebih berhati-hati dan sensitif apabila menguruskan bahan suci sesuatu agama. Kita boleh merujuk realiti ini dengan pengalaman muzium barat mengadakan pameran galeri Islam.31
Klas Grinell menerangkan bagaimana sarjana muzium barat terpaksa bersusah payah mengkaji teks Quran, Sunah dan kupasan ulama Islam dalam pelbagai bidang ilmu untuk mengetahui apa yang dibolehkan dan tidak dibolehkan untuk sesuatu pameran tentang Islam. Hasilnya, mereka memahami bahawa Islam berpegang pada falsafah iconoclasm iaitu larangan menggambarkan lukisan atau ukiran manusia khususnya membabitkan Nabi Muhammad SAW. Hal ini telah dielakkan walaupun mereka memang mempunyai banyak koleksi artifak, objek dan visual tentang diri Rasulullah SAW. Ia telah dielakkan kerana mematuhi prinsip etika muzium moden yang perlu mematuhi atau menjaga sensitiviti ajaran Islam. Lagipun, andainya hal ini tidak dipatuhi, ia bakal membangkitkan protes dan kemarahan penganut Islam. Terdapat dua contoh (precedent) yang menunjukkan hal ini pernah berlaku iaitu protes umat Islam pada tindakan Salman Rushdie yang memburukkan Rasulullah dan para Sahabat, selain peristiwa serangan ke atas pejabat majalah mingguan terkenal Perancis Charlie Hebdo yang melukis karikatur menghina Rasulullah SAW.32
- Kesimpulan
Sebagai rumusan akhir, kita dapat mengakui bahawa jasa yang dimainkan oleh ICOM dalam mengatur perjalanan muzium seluruh dunia memang agak besar. Hasil kajian terhadap Kod Etika Muzium ICOM mendapati ia dibuat bukan sekadar berupa piawaian dan garis panduan profesional untuk muzium – bahkan juga merupakan aspirasi dan perkembangan terkini dalam bidang permuziuman. Etika ini sebaik-baiknya perlu diisi dengan prinsip Islam bagi menjadikannya lebih relevan untuk konteks masyarakat Islam. Sememangnya adalah sesuatu yang agak memalukan apabila didapati muzium barat yang secara konsisten mengutarakan dan mengaplikasikan etika muzium ini, sedangkan hal ini tidak dilakukan oleh muzium di negara umat Islam.
1 Ahmad Farid Abdul Jalal (2017), Pengaruh Ilmu Kolonial Dalam Permuziuman Di Malaysia: Satu Analisis, e-Academia Journal, Volume 6, Issue 1, h. 127-141
2 Ahmad Farid Abd Jalal (2020), Muzium Dan Kedaulatan Institusi Beraja Di Malaysia, Jurnal ‘Ulwan , Jilid 5 (1), h. 27-44
3 Ab Samad Kechot (2012), Pendidikan Warisan Di Muzium: Kajian Berkaitan Penggunaan Laras Bahasanya, Geografia Online : Malaysia Journal Of Society And Space , 8 Issue 8, h. 35 – 46.
4 Azizan Baharuddin (2005), Dialog Peradaban: Perspektif Lslam, Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, h.86-95.
5 Mcvey, Ruth T, (1998), Globalization, Marginalization, And The Study Of Southeast Asia, Southeast Asian Studies: Reorientations”. The Frank H. Golay Memorial Lectures 2 & 3. Ithaca, NY: Cornell University Southeast Asian Program.
6 Osman Bakar (2003), Globalisasi Dan Peradaban, Dalam A. Aziz Deraman, Globalisasi Dalam Peradaban Di Malaysia, Kuala Lumpur : DBP, h. 33-38.
7 Özay, M. (2013). An Attempt To Understand The Driving Forces Of Historiography In The Eurocentric Perspective In Southeast Asia. İnsan & Toplum, 3(6), h. 271-282.
8 Abdul Manap Mahmud (2011), Kesedaran Etnobotani : Suatu Sorotan Tentang Peradaban Melayu Terhadap Sains Tumbuhan, DalamInternational Conference On Islamic Civilization And Malay Identity 2011, 14-15 November 2011, Melaka, h. 766-778.
9 Mohd Hazim Shah (2007), Historicising Rationality: The Transmission Of Rationality And Science To The
Malay States Under British Rule, Dalam Asian Journal Of Social Science 35, h. 216–241
10 Maklumat Lengkap Tentang Koleksi Sains Botani Kolonial Boleh Dilihat Dalam Jeyamalar Kathirithamby-Wells (2009), Peninsular Malaysia In The Context Of Natural History And Colonial Science, Dalam New Zealand Journal Of Asian Studies 11, 1 (June 2009), h. 337-374.
11 Ibid.
12 Zainal Kling (2000), Keranamu Malaysia: Negara Itu Adalah Akar Umbi Kehidupan Dan Essensi Kewujudan Manusia, Dalam Perpaduan, Bil. 3, h. 4-11.
13 Rahimin Affandi Abdul Rahim (2011), Metodologi Disiplin Occidentalisme Alternatif: Tumpuan Khusus Terhadap Pandangan Orientalis Terhadap Hukum Islam, Jurnal Syariah, No.2
14 Azman Ligun (2017), Muzium Sebagai Instrumen Pembelajaran Sejarah Luar Bilik Darjah, Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik, Bil. 5, Isu 1 [19], h. 19-30.
15 Holger Warnk (2010), The Collection Of 19th Century Printed Malay Books Of Emil Lüring, Sari – International Journal Of The Malay World And Civilisation, 28(1), H. 99-128.
16 Jelani Harun (2008), Kajian Naskhah Undang-Undang Adat Melayu Di London, Sari, V. 26.
17 Ahmad Farid Abd Jalal (2020), Muzium Dan Agenda Counter Islamophobia: Satu Analisis, Idealogy Journal, Vol. 5 Issue 1, h. 1-16.
18 Kaitlyn Armendariz (2017), Culturalcide: The Systematic Destruction And Rewriting Of World History At The Hands Of Isis, Tesis Sarjana Untuk The University Of Arizona.
19 Patrick Blannin (2017), Islamic State’s Financing: Sources, Methods And Utilisation, Counter Counterterrorist Trends And Analyses, Volume 9, Issue 5, May 2017, h. 13-22.
20 Eliot (1984) Milton. G. Cumberlege, London, h. 46.
21 Douglas, Isherwood (1979) The Organization Of Museum Practical Advice. UNESCO, Paris, h. 99.
22 Kamarul Baharin AK (1999) Pengurusan Koleksi, Perolehan Dan Penstoran. Jabatan Muzium Malaysia, Kuala Lumpur
23 Badrul Isa (2017), Museum Pedagogy And Learning Experiences: An Investigation Into Museum Education From Instructional Perspectives, Tesis PhD Untuk School Of Education, College Of Design And Social Context, RMIT University, h. 23-50.
24 Ahmad Farid Abd Jalal, Abdullah Yusuf, Ahmad Faisal Abd Hamid & Rahimin Affandi Abd Rahim (2019), Kesedaran Muzium Baru Di Malaysia, Jurnal Melayu Sedunia, Vol 2, Issue 1, h. 93 -111.
25 Syed Hussein Al-Attas (2005), “Watak Tertawan Di Negara Membangun”, Dalam Edit Oleh Mohamad Daud Mohamad Pascakolonialisme Dalam Pemikiran Melayu, Kuala Lumpur : DBP, h. 2-10.
26 Awang Azman Awang Pawi (2009), Menulis Dengan Budaya Pascakolonial: Analisis Catatan Kembara, Jurnal Pengajian Media, h. 133-148.
27 Joseph Maria Van Beurden (2016), Treasures In Trusted Hand Negotiating The Future Of Colonial Cultural Objects, Tesis Kedoktoran Untuk Universiti Amsterdam, h. 45-48.
28 Ibid.
29 Richard B. Allen (2009), European Slave Trading In The Indian Ocean, 1500–1850, Ohio University Press Athens, Ohio, h. 1-26.
30 Van Welie, Rik. (2008), Slave Trading And Slavery In The Dutch Colonial Empire: A Global Comparison. New West Indian Guide/Nieuwe West-Indische Gids, Vol. 82, Nos. 1-2, h. 47-96.
31 Ahmad Farid Abd Jalal (2021), Pengalaman Pameran Muzium Islam Di Muzium Semasa : Satu Pengenalan, Ideology Journal Of Arts And Social Science, V. 6, No 1, h. 49-64.
32 Klas Grinell (2019), Muhammad At The Museum: Or, Why The Prophet Is Not Present, Religions, 10, 665, h. 1-13.