Galeri ini mempamerkan karya-karya seni seperti lukisan nama-nama Allah SWT (Asmaul Husna), karya seni Melayu seperti keris berwafak dan manuskrip yang merupakan simbol kekuatan, keberanian dan kebijaksanaan masyarakat Melayu. Keris merupakan senjata yang mewakili keampuhan Melayu dan menjadi senjata penting semasa menentang penjajahan. Senjata ini telah digunakan oleh tokoh-tokoh seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Pawang Nong dan lain-lain dalam mempertahankan tanah air dan kesucian agama Islam. Jika keris digunakan sebagai senjata jasmani, manuskrip pula menjadi pelengkap kepada keperluan rohani dan intelek yang perlu dimiliki oleh seseorang manusia yang bergelar hamba. Islam telah memberi sumbangan yang besar dalam perkembangan tamadun ilmu di alam Melayu sehingga melahirkan manuskrip Melayu-Islam dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan seperti tafsir, akidah, fiqh, perubatan dan persenjataan khususnya keris. Semua ini membawa kepada kesempurnaan, keseimbangan dan sifat kehambaan yang akhirnya kembali kepada kebesaran dan kekuasaan Allah subhanahu wa taala seperti yang terkandung dalam Asmaul Husna.
Kehambaan kepada Allah SWT – merasakan kehadiran Allah SWT dalam setiap gerak geri, tindak tanduk meletakkan seseorang insan itu sentiasa berada dalam keadaan takwa dan iman. Hamba merupakan golongan yang paling rendah dalam struktur hierarki masyarakat. Golongan ini tidak boleh bertindak mengikut kemahuan sendiri kerana dikawal oleh peraturan dan perintah yang ditentukan oleh pemilik mereka. Namun, kedatangan Islam menukar konsep daripada perhambaan manusia kepada kehambaan kepada Allah SWT. Rasa kehambaan perlu ada di dalam hati setiap manusia. Antara sifat yang ada pada seorang hamba ialah miskin, jahil, lemah, bersalah dan hina. Sifat ini akan mendorong manusia untuk meletakkan pergantungan kepada yang Maha Kuat, pengharapan kepada yang Maha Sempurna, permohonan kepada yang Maha Kaya sehingga menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat.