Galeri Kesultanan Melayu Pahang

Pengenalan

Pahang dipercayai wujud sejak Zaman Paleolitik Akhir sehingga Zaman Proto Sejarah. Setelah memasuki Zaman Sejarah, Pahang pernah dikuasai oleh kerajaan Sriwijaya, di bawah pengaruh kerajaan Majapahit dan raja-raja Siam pada kurun ke-13. Menjelang akhir kurun yang ke-15, Pahang telah diperintah oleh raja-raja Melayu dari keturunan Melaka. Pada kurun ke-17, setelah kuasa kerajaan Aceh semakin melemah, Pahang telah bersatu di bawah Empayar Johor-Pahang-Riau-Lingga. Setelah berlakunya Perjanjian Inggeris-Belanda pada 17 Mac 1824, Pahang telah memerintah secara mandiri dan tidak lagi tertakluk di bawah pemerintahan Empayar Johor-Pahang-Riau-Lingga.  

Setelah berakhirnya perang saudara di Pahang pada pertengahan kurun ke-19 (1857-1863), Sultan Ahmad telah berjaya memegang tampuk pemerintahan.Baginda terpaksa berhadapan dengan pihak British yang berusaha untuk memasukkan Pahang di bawah naungan British. Campur tangan British mendapat tentangan daripada Orang Besar-besar dan pahlawan-pahlawan Pahang yang menyebabkan berlakunya pertempuran-pertempuran bersenjata di antara mereka selama lima tahun (1891-1895). British kemudiannya berjaya menubuhkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dengan Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan menjadi sebahagian daripadanya.  

Pahang juga pernah diduduki oleh tentera Jepun pada tahun 1941, selain serangan pengganas-pengganas komunis pada tahun 1948. Pahang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu, mencapai kemerdekaan bersama-sama dengan negeri-negeri Melayu lainnya dalam Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya dibawa bersama-sama bersekutu dalam Malaysia.

Secara umumnya, galeri ini mempamerkan tentang perjalanan sejarah Negeri Pahang melalui koleksi-koleksi artifak terpilih, video Kesultanan Melayu Pahang dan gambar-gambar peristiwa bersejarah sepanjang pemerintahan sultan-sultan Pahang bermula daripada Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah sehingga waris takhta Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Maklumat Pameran

Kongsi halaman →
Facebook
Twitter

Tiket Kemasukan

Available in Muzium Sultan Abu Bakar (Pekan)