Batu Nisan Permatang Pasir
Kedatangan Islam di Pahang dibuktikan dengan penemuan sebuah batu nisan lama di Teluk Che Munah, Kampung Permatang Pasir, Pulau Tambun, Pekan, Pahang pada Jun 1953. Ia menunjukkan kemungkinan pertapakan agama Islam telah berlaku lama di Pahang iaitu hampir tiga ratus tahun sebelum kewujudan Kerajaan Islam di Melaka. Batu nisan tersebut dihiasi dengan ayat Al-Quran dan syair Arab dengan menggunakan seni khat halus. Terdapat juga tarikh yang menunjukkan bahawa si mati meninggal pada subuh hari Rabu 14 Rabiulawal tahun 419 Hijrah (1028M). Hal ini bermakna batu nisan tersebut adalah lebih awal daripada kewujudan Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303M.
Timba Tembaga
Timba ini dipercayai digunakan di surau atau masjid dan dikaitkan dengan penempatan Islam di Pahang. Pada timba ini tertera tulisan timbul tahun 707 Hijrah (1308 Masihi). Terdapat kesan haus di bahagian tepi badan artifak dipercayai disebabkan oleh fungsinya sebagai alat untuk mengambil air di dalam perigi. Penemuan timba tembaga ini adalah bukti bahawa penempatan Islam yang lebih kompleks telah wujud di Pahang ketika itu.